Inkues Zara Qairina: Pakar Kekal Dengan Kesimpulan Kematian Paling Konsisten Akibat Bunuh Diri

KOTA KINABALU: Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Dr Chua Sze Hung, kekal dengan kesimpulannya bahawa cara kematian Zara Qairina Mahathir paling konsisten dengan bunuh diri.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan penentuan muktamad cara kematian pelajar Tingkatan Satu itu kepada Mahkamah Koroner.

Ketika dipanggil semula memberi keterangan pada prosiding inkues hari ini, Chua berkata pandangannya dibuat berdasarkan penilaian pakar dan imbangan kebarangkalian.

“Saya tetap dengan kesimpulan bahawa cara kematian si mati paling konsisten dengan bunuh diri.

“Dengan rendah diri, saya serahkan kepada mahkamah untuk menentukan cara kematian yang muktamad dan pandangan saya kekal sebagai pendapat pakar berdasarkan imbangan kebarangkalian,” katanya.

Keterangan itu diberikan ketika pemeriksaan utama oleh pegawai pengendali prosiding inkues, Nahra Dollah, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Chua dipanggil semula selepas Pakar Perunding Psikiatri, Dr Simon Wong, yang memberi keterangan bagi pihak pasukan guaman ibu Zara, selesai memberikan keterangannya.

Dalam prosiding, Chua turut ditanya mengenai keterangan Wong yang menyifatkan peristiwa pada 15 Julai sebagai ‘signifikan dari sudut klinikal’ kerana ia didakwa berlaku dalam keadaan tekanan terkumpul, bukannya sebagai peristiwa terpencil.

Menurut Chua, pandangan Wong itu selari dengan kesimpulannya bahawa sesi soal siasat yang memberi tekanan dan pengasingan kepada Zara pada ketika berkenaan merupakan faktor pencetus secara langsung.

Beliau bagaimanapun berkata tidak dapat memastikan maksud tepat istilah ‘signifikan dari sudut klinikal’ yang digunakan Wong, namun percaya ia merujuk kepada tekanan emosi yang signifikan.

Ditanya sama ada laporan Wong yang tidak bertujuan menentukan cara kematian kurang membantu mahkamah berbanding kaedah autopsi psikologi, Chua berkata kedua-duanya mempunyai pendekatan berbeza.

Katanya, penilaian psikiatri klinikal lebih tertumpu kepada rumusan keadaan psikiatri, manakala autopsi psikologi sememangnya direka untuk membantu menentukan cara kematian.

“Pada pandangan saya, autopsi psikologi lebih relevan dalam membantu mahkamah menjalankan siasatan mengenai cara kematian,” katanya.

Chua turut bersetuju bahawa keterangan Wong berhubung tekanan pada 15 Julai menyokong dapatan beliau bahawa sesi soal siasat di A-3-6 menjadi faktor pencetus secara langsung.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi.

Prosiding inkues yang bermula pada 3 September 2025 itu telah mendengar keterangan pelbagai saksi, termasuk pelajar, guru, pegawai polis, pakar patologi forensik, pakar psikiatri dan pemeriksa dokumen forensik.

BBerkaitan

Latest articles