SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengesahkan bahawa dokumen Surat Cara Proklamasi yang tular baru-baru ini telah ditandatangani oleh Menteri Besar secara paksaan dan tanpa rela hati.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, berikutan insiden berkenaan, beliau telah tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan oleh pihak berkuasa.
”Merujuk kepada isu dokumen Surat Cara Proklamasi (‘Surat Cara tersebut’) yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 September 2026, saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).
”Saya telah membuat laporan polis pada sekitar jam 6 petang pada 8 September 2026 bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ismail menegaskan bahawa Kerajaan Negeri berpendirian dokumen berkenaan adalah tidak memenuhi proses serta tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Oleh yang demikian, beliau menjelaskan dokumen itu adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Dalam pada itu, Ismail memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil. 5 Tahun 2026 yang bersidang pada 8 September 2026 turut membincangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pendamai.
Menurut beliau, jawatankuasa tersebut bertujuan sebagai wadah bagi mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.
”Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.
”Ia serta perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara,” katanya.
Tegas Ismail lagi, beliau menzahirkan sokongan penuh dan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
”Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” ujarnya.










