​KUALA LUMPUR: Pertubuhan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini tampil membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kenyataan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berhubung isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
​Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Sri Petaling di sini berikutan dakwaan Madinah yang didakwa berunsur penyesatan fakta serta boleh mengelirukan masyarakat umum.
​Beliau berkata, kenyataan Madinah yang mendakwa tidak diberi ruang memberi keterangan secara lisan serta tidak menemui bukti penyelewengan semasa berkhidmat disifatkan sebagai menimbulkan keresahan dalam kalangan pendeposit institusi berkenaan.
​”Kami tampil membuat laporan polis bagi meminta pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap kenyataan yang dibuat oleh beliau,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis berkenaan hari ini.
​Sehubungan itu, Zulkarnain mencabar Madinah untuk tidak memutar balik fakta berhubung siasatan RCI berkenaan di platform media sosial demi kepentingan tertentu.
​”Jika beliau rasa di pihak yang benar, tampil dan jawab secara terbuka berhubung 75 soalan serta akuan berkanun yang pernah diserahkannya kepada pihak suruhanjaya sebelum ini,” katanya.
​Beliau menambah, perbuatan mempertikaikan dapatan RCI secara terbuka bukan sahaja menjejaskan integriti institusi pengurusan tabung haji berkenaan, malah berisiko dijadikan modal politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
​Isu berkenaan mendapat perhatian selepas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebelum ini menafikan dakwaan Madinah.
Beliau mengesahkan bahawa suruhanjaya itu telah mengeluarkan sepina serta mengemukakan 75 soalan bertulis yang dijawab sendiri oleh Madinah melalui akuan berkanun pada 1 April 2022 untuk direkodkan sebagai kenyataan saksi RCI.










