Azeez Kekal Dalam Tahanan Polis Sehingga Perintah Reman Tamat Esok – Peguam

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim akan kekal dalam tahanan polis sehingga perintah reman dua hari terhadapnya tamat esok, meskipun telah dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Peguamnya, Datuk Amer Arshad berkata, perintah reman yang dikeluarkan bagi membantu siasatan polis masih berkuat kuasa dan perlu dipatuhi sehingga tempohnya berakhir.

“Secara teknikalnya, ya, kerana perintah reman masih berkuat kuasa. Jadi mereka perlu mematuhinya dan beliau akan kekal dalam tahanan polis sehingga perintah reman itu tamat.

“Selepas itu, beliau boleh dibebaskan. Sebab itu pada masa sama, penjamin beliau sedang menguruskan proses jaminan,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Amer, sekiranya tiada permohonan lanjutan reman dibuat, Abdul Azeez boleh dibebaskan selepas tempoh reman berakhir esok.

Terdahulu, katanya, polis memohon supaya Abdul Azeez direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, namun permohonan itu dibantah pasukan pembelaan.

Menurutnya, pihak pembelaan berhujah bahawa Abdul Azeez telah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dalam siasatan berkenaan dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Pihak pembelaan turut membangkitkan bahawa perkara berkenaan telah dilaporkan sejak 2018 dan 2019 serta siasatan telah dijalankan sebelum ini.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan permohonan reman selama dua hari.

Selepas prosiding reman itu, Abdul Azeez dibawa ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Amer berkata anak guamnya menafikan dakwaan salah guna kuasa yang dikenakan terhadapnya dan memilih untuk dibicarakan bagi membersihkan namanya.

Dalam prosiding berkenaan, pihak pendakwaan pada awalnya memohon jaminan RM1 juta selain syarat tambahan supaya pasport Abdul Azeez diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan membantah kedua-dua permohonan berkenaan, termasuk syarat penyerahan pasport dengan alasan Abdul Azeez telah berada di Malaysia dan memberikan kerjasama kepada siasatan sejak 2018.

Mahkamah akhirnya menetapkan jaminan RM450,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan tidak memerintahkan pasport Abdul Azeez diserahkan kepada mahkamah.

Beliau sebaliknya hanya perlu melaporkan diri kepada SPRM sekali setiap tiga bulan.

Mengulas keadaan Abdul Azeez, Amer berkata anak guamnya berada dalam keadaan baik dan bersemangat, namun kecewa dengan dakwaan yang dibuat terhadapnya.

“Beliau berada dalam keadaan baik dan bersemangat. Sudah tentu beliau kecewa kerana terdapat dakwaan yang menurutnya tidak benar dibuat terhadapnya.

“Beliau bertekad untuk membersihkan namanya dan pasukan guaman bersedia meneliti perkara ini serta mempertahankan beliau,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles