​KUALA LUMPUR: Peranan MCA sebagai suara semak dan imbang yang kritikal pada masa kini digerakkan atas prinsip parti itu tidak mempunyai apa-apa lagi untuk hilang serta tiada jawatan dalam pentadbiran kerajaan.
Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong berkata, langkah berkenaan dibimbing di bawah kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang komited untuk membina semula parti serta memenangi semula kepercayaan orang ramai.
“Kita sentiasa sangat kritikal, kita memberikan pandangan berdasarkan suara kaum dan rakyat.
“Jadi, ia adalah dalam tahun-tahun kebelakangan ini yang anda boleh lihat semak dan imbang datang dari MCA kerana kita tiada apa-apa untuk hilang dan tiada jawatan,” katanya.
​Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam forum Politiko bertajuk “Masa Depan Bukan Melayu dalam Naratif PN-BN” di sini, hari ini.
​
Antara panel lain pada forum tersebut ialah penganalisis politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Lau Zhi Wei dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Wawasan Negara, Riche Huan.
​Mengulas lanjut, Choo Seong berkata hala tuju baharu itu diatur bagi memastikan parti kembali berpijak pada realiti serta relevan dalam arena politik tanah air demi mendapatkan semula keyakinan rakyat.
​”Malah, itu juga yang telah menjadi satu panduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, kita mahu membina semula parti, kita mahu regain (mendapatkan semula) kepercayaan daripada rakyat. Jadi, kita harus kembali kepada realiti,” tambahnya.
​Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa MCA kekal memperjuangkan hak masyarakat Cina termasuk isu pendidikan dan sekolah vernakular, namun dalam masa yang sama tetap mengangkat kepentingan nasional secara menyeluruh.
​Beliau turut mengingatkan bahawa Perlembagaan Persekutuan serta kontrak sosial yang dipersetujui sejak sebelum pembentukan Malaysia mesti dihormati semua pihak bagi menjamin keharmonian kepelbagaian kaum, agama dan budaya negara ini.
Beliau menggesa agar pemimpin politik menghentikan polemik sempit yang memperalatkan isu kaum dan agama, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membela kebajikan rakyat yang sedang berdepan pelbagai cabaran kesusahan hidup.
​”Jangan menunggang agama, menunggang isu kaum, kerana rakyat sudah berubah, mereka sudah tahu sekarang mereka sedang mengalami kesusahan, mahukan sebuah kerajaan yang lebih baik, lebih prihatin.
​”Maka, itulah peranan pemimpin-pemimpin politik bukan sahaja menawarkan harapan, tetapi merealisasikan apa yang diperlukan untuk kebaikan semua,” ujar beliau.










