KUALA LUMPUR: Aktivis kemanusiaan merangkap bekas Penerbit Kanan Edisi Siasat NTV7, Zainal Rashid Ahmad membayangkan kesediaan beliau untuk membawa isu kelewatan bekalan baja fasa tiga yang menjejaskan kira-kira 40,000 pesawah di Kedah dan Perlis ke muka pengadilan.
​Peringatan itu disuarakan menyusul penjelasan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Adeysham Nor, berhubung kronologi tindakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendepani kegagalan syarikat pembekal.
​Zainal Rashid membidas kenyataan pegawai media menteri berkenaan yang menyenaraikan siri mesyuarat dan prosedur dalaman bagi mempertahankan tindakan Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu.
​”Jawapan saya mudah: ‘Kalau dah tahu ada kuasa media sosial, mengapa bekerja dengan pendekatan dalam kelambu dan sekarang baharu nak jelaskan?’
​”Mesyuarat atau apa pun kerja YB Menteri adalah tugas dan tanggungjawab hakikinya. Tapi, apabila bencana kerugian menimpa rakyat dan dalam kes ini bersangkut dengan isu bekalan baja, tugas kami pula untuk bersuara,” katanya dalam hantaran di FB ZRA Strim.
​Beliau turut mempersoalkan mentaliti ‘pekerja menteri’ yang seolah-olah menuntut pengamal media mengikut budaya memahami kerja dalaman kementerian semata-mata untuk mengelak isu kegagalan dibangkitkan.
​”Ubahlah mentaliti. Jangan apabila jadi isu kegagalan, saudara cuba menyenaraikan semua usaha YB Menteri.
“Rakyat tak mahu tahu apa kerjanya sebab itu memang tugas dan amanah yang digajikan.
​”Rakyat akan marah apabila kesannya, terutama ketidakcekapan pengurusan kementerian dan agensi, menyebabkan nasib petani ditimpa bencana. Lewat bekalan baja fasa tiga dan sekitar 40,000 petani diancam kerugian bukan soal remeh mengenai siapa dapat berita dulu di media sosial,” tegasnya.
​Menyentuh rekod perkhidmatannya, Zainal Rashid menegaskan tindakannya menyuarakan isu ini berasaskan pengalaman lebih dua dekad membela nasib golongan bawahan, dan bukannya mengejar ‘viral’ seperti yang didakwa sesetengah pihak.
​”Saya pun bukan sehari dua melaporkan isu berkaitan nasib rakyat. Sejak 2001, sudah ratusan isu membabitkan masalah petani, nelayan dan rakyat bawahan disuarakan melalui lebih 500 episod Edisi Siasat NTV7.
​”Pada 2022 dan 2024 di media sosial pun saya suarakan masalah baja dan benih padi, malah berbulan-bulan menyuarakan isu beras subsidi yang hilang di pasaran pada 2024.
“Saya bukan BBNU yang kemaruk ‘like’ di media sosial,” tambahnya.
​Mengenai kronologi dan penjelasan panjang lebar kementerian, Zainal Rashid menyifatkan mahkamah sebagai medan paling adil dan relevan untuk menentukan kebenaran.
​”Jadi, jawapan tuan dengan senarai kerja YB Menteri yang nampak sangat rajin dan sangat hebat bukan urusan saya. Kerja saya ialah membantu suara mereka yang disenyapkan oleh ketidakberdayaan menyatakan kebenaran.
​”Mengenai segala fakta yang tuan sebut, sebagai saya tak melihatnya dengan baik, Insya-Allah… doakan usaha kami membawa kes ini ke mahkamah terlaksana.
“Biar mahkamah adili dengan sewajarnya, nanti kita tahu siapa yang berkata benar,” ujarnya.
​Terdahulu, Adeysham Nor menerusi hantaran di platform sama menepis dakwaan kononnya kementerian hanya bertindak selepas isu berkenaan ditularkan oleh pempengaruh media sosial.
​Adeysham mendokumentasikan kronologi tindakan kementerian, antaranya penyerahan Surat Setuju Terima (SST) pada 27 April 2026, tindakan Menteri turun sendiri ke lapangan pada 12 Ogos, sehinggalah permohonan penamatan kontrak syarikat pembekal dikemukakan kepada Perdana Menteri pada 27 Ogos lalu selepas pembekal gagal memenuhi obligasinya.
​Menurut Adeysham, keutamaan kementerian ketika ini adalah memastikan baki bekalan baja bagi kawasan tanaman seluas 63,100 hektar sampai kepada pesawah secepat mungkin menerusi pelantikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).










