KOTA BHARU: Usaha memperkukuh permuafakatan antara dua parti politik Melayu terbesar negara, UMNO dan PAS, terus diperkasakan demi kepentingan agama, bangsa dan masa depan negara.
​Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama strategik berkenaan amat penting dalam memastikan agenda pembelaan rakyat dan kedaulatan Islam sentiasa diberi keutamaan.
​Beliau berkata demikian selepas menghadiri Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Asyraf hadir bagi mewakili Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
​”Semoga permuafakatan antara dua parti Melayu terbesar UMNO dan PAS ini terus diperkukuh dan memberi manfaat yang besar dalam memperjuangkan agama, membela kepentingan bangsa serta memastikan masa depan negara terus terpelihara,” katanya.
​Kehadiran wakil kepimpinan tertinggi UMNO ke majlis perasmian muktamar tahunan berkenaan menyerlahkan lagi keterbukaan dan komitmen kedua-dua parti dalam mengekalkan hubungan silaturahim serta kerjasama politik demi kestabilan nasional pada pilihan raya umum akan datang.










