Peningkatan Jumlah Cabutan Khas Keputusan Bersama Kerajaan Terdahulu

KUALA LUMPUR: Keputusan meningkatkan jumlah cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali setahun ketika pentadbiran terdahulu adalah tanggungjawab bersama Jemaah Menteri, termasuk menteri daripada PAS ketika itu.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata cabutan khas bukan perkara baharu, sebaliknya telah diperkenalkan sejak 1999, malah had siling 22 cabutan setahun sudah wujud ketika pentadbiran Barisan Nasional sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan.

“Ketika pandemik (COVID-19), kerajaan ketika itu kembali kepada siling sedia ada (22 kali) dan perkara ini juga telah dimaklumkan kepada Parlimen melalui jawapan rasmi.

“Yang penting, di bawah Kerajaan MADANI hari ini, cabutan khas telah diturunkan kepada hanya lapan kali setahun,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau yang kini Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas tindakan segelintir pihak yang meletakkan tanggungjawab keputusan peningkatan cabutan khas itu kepadanya secara peribadi.

Beliau berkata fakta berhubung isu berkenaan adalah jelas dan beliau tidak berhasrat untuk memanjangkan polemik yang boleh mengganggu tumpuan kerajaan terhadap agenda pembangunan negara.

“Tumpuan Kerajaan MADANI adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat dan memastikan setiap dasar benar-benar memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Isu cabutan khas nombor ramalan kembali dibangkitkan berikutan dakwaan dan pertikaian mengenai kewajaran menaikkan jumlah cabutan itu semasa tempoh pandemik COVID-19.

Selepas menerajui pentadbiran pada Disember 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan jumlah cabutan khas itu diturunkan semula daripada 22 kali kepada lapan kali setahun bermula 2023.

BBerkaitan

Latest articles