KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) meminta semua pihak kembali kepada fakta dan saluran rasmi, susulan wujud percanggahan kenyataan antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung peruntukan projek jalan luar bandar.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, menegaskan kenyataan MoF mengenai kedudukan peruntukan serta bayaran kepada kontraktor tidak dibuat secara melulu, sebaliknya berdasarkan kedudukan sebenar pengurusan kewangan kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil, supaya meneliti semula fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan penjelasan MoF.
Menurut Tunku Nashrul, perkara membabitkan kewangan kerajaan sepatutnya dibincangkan melalui saluran sewajarnya dan tidak dijadikan medan untuk menyerang penjawat awam secara terbuka.
“Elok saudara Fadzmel semak semula fakta. Saya yakin kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan tidak dibuat secara sembarono.
“Saya kenal Tan Sri KSP sebagai penjawat awam kanan yang teliti dan cekap. Dalam urusan kewangan negara, sudah tentu beliau lebih arif.
“Janganlah serang penjawat awam dengan cara begini. Gunalah saluran yang betul untuk berbincang dengan MoF, bukan bermula dengan membuat bising di luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, menjelaskan bahawa MoF tidak pernah menyekat peruntukan KKDW untuk projek jalan luar bandar.
Malah, katanya, peruntukan yang diluluskan telah disalurkan sepenuhnya kepada KKDW.
Johan bagaimanapun menjelaskan isu pembayaran kepada kontraktor timbul apabila peruntukan bagi tahun semasa hampir habis digunakan.
Beliau turut mendakwa KKDW sejak beberapa tahun lalu telah membuat komitmen dan perbelanjaan melebihi jumlah peruntukan yang diluluskan bagi projek berkenaan.
Kenyataan itu bagaimanapun dipertikaikan Fadzmel yang menolak dakwaan bahawa KKDW telah berbelanja melebihi peruntukan diluluskan.
Fadzmel berkata peraturan kewangan kerajaan tidak membenarkan kementerian membuat perbelanjaan melebihi jumlah yang diluluskan, selain menegaskan sebarang perbelanjaan perlu berasaskan perincian projek serta peruntukan yang telah mendapat kelulusan.
Beliau turut merujuk kepada Arahan Perbendaharaan yang mengawal sebarang perbelanjaan tidak teratur atau yang melebihi peruntukan.
Pertembungan penjelasan kedua-dua pihak itu menjadikan persoalan mengenai kedudukan sebenar peruntukan dan komitmen projek jalan luar bandar semakin mendapat perhatian.
Dalam perkembangan itu, PMO mengambil pendirian jelas bahawa perbezaan pandangan mengenai pengurusan kewangan kerajaan perlu diselesaikan melalui semakan rekod dan perbincangan antara kementerian, bukannya menerusi kenyataan terbuka yang boleh mencetuskan kekeliruan.










