​BACHOK: Dewan Muslimat PAS tidak boleh lagi dilihat sekadar sebagai tenaga sampingan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada kekuatan utama dan strategi perjuangan parti dalam mendepani cabaran era moden.
​Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, peranan wanita dalam parti perlu dinilai sebagai kekuatan strategik memandangkan pengaruh mereka yang besar dalam institusi keluarga, masyarakat, sektor profesional, serta penentuan masa depan politik negara.
​”Muslimat bukan tenaga sampingan. Muktamar ini bukan sekadar mahu menyelesaikan agenda organisasi, tetapi untuk kita memperbaharui ikrar (baiah), tekad, dan azam bagi menyusun langkah ke hadapan.
“Cabaran dan kaedah perjuangan hari ini telah berubah, namun amanah Islam tidak pernah berubah.
“Kita mesti mempertahankan prinsip, tetapi sentiasa memperbaharui pendekatan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat ke-66 di Kompleks Pendidikan Islam, Bachok, di sini hari ini.
​Dalam ucapan tersebut, beliau menggariskan 10 ciri utama Muslimat ‘Ala Baru’ yang diidamkan bagi memperkukuh tiang perjuangan parti.
Jelasnya, ciri-ciri tersebut merangkumi pengukuhan hubungan dengan Allah menerusi amalan ketakwaan, pemilikan ilmu yang luas dalam pelbagai disiplin, serta kecelikan digital di platform media baharu seperti TikTok, Facebook, Instagram, podsiar, dan kecerdasan buatan (AI) dengan membawa keindahan akhlak Islam.
​Di samping itu, beliau menekankan kepentingan menguasai kemahiran berkomunikasi dan bahasa utama, memupuk budaya membaca yang tinggi, serta mengurus masa dan keluarga secara cekap tanpa mengabaikan peranan dalam medan perjuangan.
Tambahnya, ciri-ciri lain yang turut digariskan termasuklah memiliki profesionalisme, berjiwa pemimpin yang proaktif, berakhlak matang dalam menyampaikan pandangan, serta berdaya tahan dalam mendepani cabaran penjajahan pemikiran tanpa menggoyahkan prinsip.
​Mengulas sejarah organisasi itu, Idris mengingatkan bahawa cadangan penubuhan Dewan Muslimat telah bermula sejak 3 April 1952 dan dirasmikan pada 13 Disember 1957, sekali gus membuktikan peranan wanita sentiasa diambil kira sejak awal penubuhan parti.
​”Generasi terdahulu berhadapan dengan penjajahan fizikal dan kekurangan pendidikan, manakala kita hari ini berdepan dengan penjajahan pemikiran dan lambakan maklumat.
“Lantaran itu, Muslimat hari ini mesti menjadi golongan yang apabila bercakap orang mahu mendengar, apabila menulis orang mahu membaca, dan apabila menjawab orang mendapat ilmu,” tambah beliau lagi.










