BACHOK: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menggariskan lima teras utama sebagai pelan tindakan menyeluruh bagi mendaulatkan Islam, memartabatkan peranan wanita, serta memperkasakan jentera parti dalam mendampingi masyarakat di seluruh negara.
​Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Nuridah Mohd Salleh berkata, lima teras berkenaan merangkumi gerakan tarbiyah dan dakwah, keluarga haraki, muslimat muda dan progresif, muslimat negarawan, serta gerakan jentera pilihan raya.
​Beliau menegaskan, kesemua teras itu diterjemahkan menerusi pelancaran Kempen 3J iaitu Jejak, Jumpa, Jaya bagi memastikan jentera parti sentiasa bersiap siaga tanpa perlu menunggu musim pilihan raya, sekali gus mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan wanita di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.
​”Tugas kita bukan sekadar memenangi pilihan raya, tetapi terus mendampingi pengundi dan masyarakat bagi menjaga kesejahteraan serta kebajikan semua tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
​”Kita mahu menawan hati rakyat dengan berkhidmat dan berakhlak,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Perasmian Muktamar Tahun Dewan Muslimat PAS Pusat ke-66 di Kompleks Pendidikan Islam, hari ini.
​Nuridah turut mendedahkan penglibatan wanita dalam politik tempatan masih berada pada tahap rendah berbanding negara luar, di mana penguasaan wanita di Parlimen Malaysia hanya sekitar 13.6 peratus berbanding Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mencapai 50 peratus dan Senegal sebanyak 41.2 peratus.
​Mengulas mengenai lima teras tindakan tersebut, beliau menjelaskan gerakan tarbiyah dan dakwah akan memperhebatkan aktiviti usrah serta kempen ‘Solat First’, manakala teras keluarga haraki memberi tumpuan kepada ekosistem pendidikan.
​Bagi teras muslimat muda dan progresif, jelasnya, platform seperti Ameerah, Nuha, dan Briged Muslimat diperkasa untuk mempercepat transformasi masyarakat berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Ujarnya, teras muslimat negarawan pula menghimpunkan wanita sebagai pembuat dasar, manakala teras jentera pilihan raya memfokuskan kepada pelaksanaan Kempen 3J secara berterusan.
​”Muslimat mesti memiliki ilmu sebelum memegang jawatan, menjaga integriti sebelum memegang kuasa, dan membuktikan kompetensi sebelum menerima amanah.
“Keseluruhan agenda ini adalah untuk mendaulatkan Islam serta memartabatkan wanita,” katanya.










