KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh disahkan bercerai dengan suaminya, M Ramachandran, selepas mendirikan rumah tangga selama 18 tahun.
Pengesahan tersebut dibuat oleh Setiausaha Akhbar kepada Hannah, Ahmad Fazli Mohd Yadi, menerusi kenyataan ringkas hari ini.
“Untuk makluman, iya sah cerai seperti dalam laporan,” katanya sambil memohon agar ruang diberikan kepada Hannah dan menegaskan tiada penjelasan lanjut akan dikeluarkan buat masa ini.
Hannah, 47, dan Ramachandran, 46, mendirikan rumah tangga pada 2008 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shay pada 2011 dan Kayleigh pada 2013.
Beliau kini memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan menjalani penggal kedua sebagai Ahli Parlimen Segambut selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 2018.
Sebelum itu, Hannah pernah berkhidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan dari 2022 hingga 2025 dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari pertengahan 2018 hingga awal 2020.
Beliau juga merupakan bekas ADUN Subang Jaya selama dua penggal dari 2008 hingga 2018 dan melakar sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2013.










