Azizulhasni Persoal Kelewatan KBS, MSN Tentukan Khidmat Ke LA28

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang menyifatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) kurang profesional dan cekap kerana mengambil masa lebih dua bulan untuk memberikan keputusan mengenai khidmatnya bagi misi kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Menerusi penjelasan sembilan muka surat di media sosial, Azizulhasni berkata kelewatan itu menyukarkan perancangannya untuk menentukan hala tuju karier serta persiapan menghadapi kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Olimpik.

“Bagi saya pihak KBS dan MSN kurang profesional dan kurang cekap sehingga perkara berlarutan seperti ini,” katanya.

Pelumba berusia 38 tahun itu menegaskan beliau tidak menuntut dana besar daripada kerajaan, sebaliknya hanya memerlukan kepastian mengenai bentuk sokongan yang bakal diterima sepanjang proses latihan dan pertandingan.

Malah, Azizulhasni berkata beliau bersedia bergerak secara profesional tanpa menerima geran KBS dan MSN sekiranya itu dapat memudahkan keadaan, selain mendapatkan sokongan kewangan menerusi penajaan swasta.

Namun, katanya, sokongan dari segi sistem latihan, penyertaan pertandingan dan pemulihan tetap penting bagi memastikan persiapan ke LA28 berjalan lancar.

Azizulhasni turut menjelaskan kepentingan mengumpul mata dan memperbaiki ranking dunia kerana laluan kelayakan LA28 membabitkan beberapa kejohanan utama sepanjang dua musim.

Beliau kini berada di ranking ke-14 dunia selepas hanya setahun kembali aktif, berbanding kedudukan ke-226 pada Disember 2025.

“Saya percaya jika terus konsisten menyertai perlumbaan dan dengan prestasi pada musim hadapan, saya boleh berada sekurang-kurangnya pada ranking kelapan terbaik dunia dan ke atas,” katanya.

Selepas meraih emas Sukan Komanwel Glasgow baru-baru ini, Azizulhasni mengakui beliau pada awalnya bersedia untuk menggantung basikal, namun semangat patriotik dan keinginan untuk terus berbakti kepada negara membuka ruang untuknya meneruskan kayuhan.

Selepas 22 tahun mewakili Malaysia, beliau menegaskan persoalan sebenar bukan sama ada dirinya mahu meneruskan perjuangan ke LA28, sebaliknya sama ada Malaysia masih memerlukan khidmatnya.

“Saya menunggu jawapan terbuka rasmi daripada pihak KBS dan MSN,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles