Bekas Pengerusi TH, Bekas KSP Ditahan SPRM Bantu Siasatan RCI

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga seorang ahli politik, serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), bagi membantu siasatan berkaitan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Kedua-dua lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang selepas hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan penahanan berkenaan.

Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman.

Penahanan itu menyusul tindakan SPRM menahan dan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan RCI TH, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH yang sebelum ini direman tujuh hari.

Sebelum ini, SPRM turut menahan atau memanggil tujuh individu termasuk bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, pengarah syarikat pembinaan, bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.

Laporan RCI TH yang didedahkan selepas empat tahun mengemukakan 25 syor bagi memperkukuh ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi itu.

Antara syor utama ialah larangan terhadap ahli politik aktif daripada menganggotai Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah supaya siasatan berhubung laporan RCI TH dijalankan “sehingga ke lubang cacing.”

BBerkaitan

Latest articles