KUALA LUMPUR: Pengumuman Kerajaan Persekutuan berhubung hasrat memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) secara sepenuhnya dialu-alukan, namun kesegeraan serta mekanisme pelaksanaannya masih menimbulkan tanda tanya.
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail berkata, walaupun pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat 2026 itu memenuhi tuntutan reformasi, kejelasan mengenai garis masa dan undang-undang pengganti amat diperlukan.
Menurut beliau, jawapan bertulis yang diterimanya berhubung isu tersebut di Dewan Rakyat pada 22 Jun lalu masih bersifat umum tanpa sebarang komitmen tarikh yang jelas mahupun mekanisme yang tuntas.
”Persoalannya, adakah pengumuman pemansuhan sepenuhnya AUKU 1971 tanpa penggantian undang-undang yang mengekang aktivisme mahasiswa ini serius untuk dilaksanakan atau sekadar gimik politik untuk meraih sokongan anak muda?
”Besarlah harapan saya agar anjakan paradigma ini segera diterjemahkan kepada penggubalan rang undang-undang progresif di Parlimen, tidak terhenti setakat sebagai penambah perisa ucapan dasar,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas mengenai sejarah akta berkenaan, Rodziah menjelaskan bahawa sejak dikuatkuasakan secara rasmi pada 30 April 1971, AUKU 1971 telah melalui lapan siri pindaan daripada 27 seksyen asal kepada 44 seksyen keseluruhannya.
Namun begitu, beliau mendapati daripada 44 seksyen berkenaan, hanya tujuh seksyen yang menyentuh hal-ehwal pelajar dan mahasiswa secara langsung, manakala 37 seksyen lagi berkaitan penubuhan, struktur pengurusan, kuasa serta mekanisme tadbir urus Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan usaha pemansuhan itu bukanlah produk agenda reformasi mana-mana Kerajaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya hasil penzahiran ketegaran dan pengorbanan panjang gerakan anak muda merentasi pelbagai generasi selama lebih 50 tahun.
Bagi memastikan proses pemansuhan ini berkesan, Rodziah menggesa agar penggubalan akta baharu dijalankan secara telus, demokratik dan terbuka dengan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk gerakan mahasiswa, ahli akademik serta pakar berkaitan.
”Sebagai tanda ‘good faith’ (niat baik), semua prosiding tatatertib dan tindakan hukuman IPT yang tertakluk di bawah AUKU 1971 mesti digugurkan serta-merta,” tegasnya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung ekosistem pembiayaan pendidikan tinggi, khususnya krisis hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Ujar beliau, walaupun PTPTN berjaya memastikan kesaksamaan akses pendidikan tinggi terutamanya bagi golongan B60, ia kini mengakibatkan ribuan anak muda menanggung beban hutang yang tinggi selepas tamat pengajian.
Masalah tersebut katanya, diburukkan lagi dengan kadar gaji permulaan yang rendah, kenaikan gaji yang lambat serta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi yang terhad, sekali gus merencatkan tabiat menabung dan meningkatkan hutang isi rumah secara keseluruhan.
Sehubungan itu, Rodziah menyeru seluruh anak muda Malaysia supaya terus berfikir secara kritis, berani menyuarakan pandangan dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan serta politik sebagai kuasa semak dan imbang dalam sistem Demokrasi Berparlimen di negara ini.










