Ismail Sabri Dijangka Didakwa Di Mahkamah Sesyen Esok

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dijadualkan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok, menurut peguamnya, Amer Hamzah Arshad.

Bagaimanapun, jenis serta butiran pertuduhan yang bakal dikenakan terhadap bekas perdana menteri itu masih belum didedahkan.

Amer Hamzah dilaporkan berkata perkara berkenaan hanya akan diketahui apabila prosiding pertuduhan berlangsung di mahkamah.

Prosiding yang pada asalnya dijadualkan pada 7 Ogos lalu terpaksa ditangguhkan selepas Ismail Sabri dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Ogos sebagai tarikh baharu untuk prosiding berkenaan.

Ismail Sabri sebelum ini dipanggil beberapa kali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Siasatan itu turut dikaitkan dengan penemuan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta serta 16 kilogram jongkong emas yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

Wang tunai dan emas berkenaan dirampas dalam beberapa serbuan membabitkan kediaman empat individu serta tiga premis lain yang dipercayai digunakan sebagai “rumah selamat”.

Kes berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan pengurusan perbelanjaan serta perolehan dana bagi aktiviti promosi dan publisiti di bawah inisiatif Keluarga Malaysia.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan ketika Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

SPRM dilaporkan telah melengkapkan siasatan berhubung kes itu pada Jun 2025.

BBerkaitan

Latest articles