KUALA LUMPUR: Isu pengurusan dan tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) bakal diteliti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen menerusi prosiding khas yang dipersetujui secara sebulat suara hari ini.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan meneliti perkembangan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan tersebut diumumkan kepada orang ramai pada 29 Julai lalu dan kemudiannya menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos.
Menurut Mas Ermieyati, beberapa isu yang timbul daripada laporan berkenaan masih memerlukan penjelasan, terutama perkara berkaitan tindakan susulan terhadap syor yang dikemukakan RCI.
Beliau berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana persepsi terhadap pengurusan TH mempunyai kaitan langsung dengan tahap kepercayaan umat Islam terhadap institusi berkenaan.
“PAC mengambil maklum bahawa masih terdapat persoalan yang dibangkitkan selepas laporan RCI didedahkan kepada umum dan dibahaskan di Dewan Rakyat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau pada masa sama menjelaskan prosiding PAC kelak bukan bertujuan membuka semula siasatan yang sudah dilaksanakan RCI.
Sebaliknya, penelitian akan menjurus kepada sejauh mana syor RCI telah dilaksanakan serta perkembangan terkini berkaitan langkah pembaikan yang diambil.
Mas Ermieyati berkata PAC akan mengadakan mesyuarat khas bagi menetapkan skop prosiding, terma rujukan (TOR) serta pihak yang akan dipanggil sebagai saksi.
Keputusan PAC itu hadir sehari selepas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan supaya sebuah badan penyiasat khas diwujudkan di bawah PAC untuk menyemak isu pengurusan TH bagi tempoh 2018 hingga 2025.
Cadangan itu dikatakan timbul dalam wacana intelektual Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji yang berlangsung semalam.
Menurut Mas Ermieyati, PAC sebagai jawatankuasa bipartisan Parlimen mempunyai pengalaman mengendalikan isu yang kompleks dan mendapat perhatian umum.
Antara prosiding terdahulu yang pernah dikendalikan PAC termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2016, tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion pada 2019 serta isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia pada 2022.
Bagi memastikan penelitian terhadap TH dibuat berdasarkan dokumen dan bukti yang relevan, PAC akan menggunakan beberapa laporan utama sebagai bahan rujukan.
Antaranya termasuk Laporan RCI, Laporan Ketua Audit Negara serta laporan audit daripada firma PwC.
Mas Ermieyati berkata pendekatan itu diambil bagi memastikan prosiding dapat dilaksanakan secara menyeluruh, terbuka dan berlandaskan prinsip akauntabiliti.
Beliau turut menegaskan PAC mahu memastikan pengurusan wang awam terus dipantau dengan sewajarnya, selain membantu memulihkan keyakinan pendeposit terhadap TH.
Kesemua anggota PAC menghadiri mesyuarat berkenaan hari ini kecuali Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju.










