SEREMBAN: Pendakwah bebas dan pempengaruh agama, Abdullah Abdol Razak, 40, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Lah, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 51 pertuduhan membabitkan pecah amanah dan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM14 juta.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim M Kunasundary selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap tertuduh.
Daripada jumlah berkenaan, Abdullah berdepan 34 pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM13 juta, yang didakwa berlaku antara 28 Februari 2023 hingga 31 Mac 2026.
Utusan Malaysia melaporkan, mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur melupuskan harta milik Pertubuhan Rezeki Infaq Malaysia (Prim) dengan melanggar Fasal 10 Perlembagaan pertubuhan berkenaan.
Dia didakwa meluluskan pembayaran sejumlah wang ke beberapa akaun bank, termasuk akaun miliknya sendiri, tanpa mendapat kelulusan Mesyuarat Agung Prim.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Seremban dalam tempoh berkenaan.
Selain itu, Abdullah turut berdepan 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM1.56 juta.










