SHAH ALAM: Sokongan wakil rakyat Bersatu terhadap kerajaan negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari sehingga tamat penggal tidak mustahil berlaku.
ADUN Gombak Setia, Hilman Idham berkata, pendirian itu boleh dipertimbangkan berdasarkan prinsip mengutamakan kepentingan rakyat serta pengalaman Bersatu bekerjasama dengan parti politik lain sebelum ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan ADUN Bersatu Selangor mengambil pendekatan sama seperti dua wakil rakyat parti itu di Pahang.
“Dasarnya adalah kepentingan rakyat,” katanya.
ADUN Kuang, Rafiq Abdullah pula mengakui kemungkinan berkenaan, namun menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada kepimpinan tertinggi parti.
“Ada kemungkinan. Tapi terpulang kepada pucuk pimpinan. Sebagai ahli parti, kami ikut sahaja,” katanya.
Menurut Hilman yang juga Ketua Pemuda Bersatu, perkembangan di Pahang boleh menjadi permulaan kepada pendekatan baharu Bersatu dalam menyokong pentadbiran kerajaan negeri meskipun PH mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Pada PRN Selangor 2023, PH memenangi 32 daripada 56 kerusi DUN, PN memperoleh 22 kerusi manakala BN menang dua kerusi.
Di Pahang, ADUN Kuala Sentul, Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus sebelum ini menyatakan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sehingga PRN akan datang atas alasan mahu memastikan kestabilan politik negeri.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu kemudiannya memaklumkan bahawa keputusan itu telah dibincangkan Biro Politik parti dan pada asasnya mendapat sokongan kepimpinan Bersatu.










