KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mendakwa Umno seolah-olah menjadikan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) sebagai satu ‘sandiwara’ politik.
Malah, beliau mempersoalkan sama ada pendekatan itu mempunyai kaitan dengan usaha melindungi mana-mana pihak daripada berdepan tindakan undang-undang susulan dapatan RCI berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook, Rayer turut mempertikaikan penganjuran sebuah forum awam yang menampilkan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, bagi membincangkan dapatan RCI TH yang sebelum ini sudah dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.
Menurutnya, persoalan lebih besar ialah bagaimana parti politik, khususnya Umno, mahu mengendalikan isu yang sepatutnya diserahkan kepada proses undang-undang dan institusi berkaitan.
“RCI bukan perisai politik, sebaliknya mekanisme institusi untuk menentukan fakta, meneliti tanggungjawab dan membuat dapatan berdasarkan bukti,” katanya.
Rayer memberi amaran bahawa usaha menjadikan prosiding atau dapatan RCI sebagai gelanggang persaingan politik demi melindungi kepentingan tertentu boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
Katanya, parti politik juga tidak seharusnya menggunakan tekanan politik atau kempen awam untuk mempengaruhi perkara yang berada dalam bidang kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Beliau berkata, isu sebenar bukan sekadar mengenai pendirian Umno terhadap RCI TH, sebaliknya sejauh mana parti itu sanggup mengutamakan integriti institusi, akauntabiliti dan kepentingan awam berbanding kepentingan politik.
Rayer turut mengingatkan bahawa proses susulan dapatan RCI perlu dihormati, lebih-lebih lagi selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan supaya perkara itu disiasat secara menyeluruh dan pihak yang bertanggungjawab didakwa.
Sebelum ini, RCI mendapati kedudukan kewangan TH dilaporkan secara tidak tepat apabila institusi itu merekodkan keuntungan RM3.4 bilion pada 2017, sedangkan berdasarkan piawaian perakaunan sewajarnya, ia sepatutnya mencatat kerugian bersih RM1.4 bilion.
Perbezaan berjumlah hampir RM4.8 bilion itu turut menjadi antara perkara yang mendapat perhatian dalam dapatan suruhanjaya berkenaan.
RCI juga mengkritik Jabatan Audit Negara (JAN) kerana didakwa tidak cukup tegas dalam melaksanakan audit terhadap penyata kewangan TH bagi tempoh 2014 hingga 2017.
Bagaimanapun, Madinah dalam forum berkenaan mempertahankan proses audit JAN dengan menegaskan perbezaan RM4.8 bilion antara dapatan audit dan semakan PricewaterhouseCoopers (PwC) tidak boleh secara automatik ditafsirkan sebagai kegagalan audit.
Beliau turut menjelaskan bahawa sepanjang mengetuai audit TH, pasukannya tidak menemukan bukti berkaitan kecurian atau penyelewengan.










