KUALA LUMPUR: PKR perlu segera mengakui kelemahan yang sedang dihadapi parti dan melaksanakan pelan pemulihan menyeluruh bagi mengelak risiko ‘kekalahan teruk’ pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Veteran PKR, Tian Chua, berkata parti itu perlu kembali membina kekuatan akar umbi serta memulihkan momentum politik sekiranya mahu memastikan perjuangan parti terus mendapat sokongan rakyat.
Menurutnya, barisan kepimpinan tidak boleh hanya mengulas mengenai kemerosotan sokongan, sebaliknya perlu bertindak dengan strategi pemulihan yang jelas dan berkesan.
“Pemimpin parti perlu bertindak seperti ‘perunding pemulihan korporat’ yang berusaha mengubah keadaan, bukan sekadar memberi ulasan mengenainya,” katanya dalam temu bual dengan FMT.
Tian Chua, 63, yang pernah menjadi naib presiden PKR, dipecat pada 2023 selepas bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Batu pada PRU15 menentang calon yang mewakili PKR.
Bagaimanapun, hubungan beliau dengan parti kembali terjalin selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mengundang bekas pemimpin parti untuk kembali bersama perjuangan PKR.
Beliau turut menghadiri Kongres Nasional PKR atas jemputan Anwar.
Bekas Ahli Parlimen Batu selama dua penggal itu berkata antara masalah utama yang perlu diberi perhatian ialah semakin longgarnya hubungan parti dengan penyokong akar umbi.
Katanya, perkembangan itu turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi PKR pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut Tian Chua, sebahagian penyokong lama serta individu yang pernah terbabit dalam gerakan Reformasi 1998 kini merasakan diri mereka semakin tersisih selepas PKR menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Ahli akar umbi yang sebelum ini begitu kuat menyokong parti tiba-tiba berasa terpinggir. Mereka merasakan selepas parti berada dalam kerajaan, parti tidak lagi memerlukan mereka.
“Jadi, mereka mula menjauhkan diri dan hilang semangat,” katanya.
Beliau berkata isu berkenaan bukan sekadar membabitkan golongan veteran atau pemimpin lama, malah turut dirasai penyokong biasa yang selama ini menjadi tenaga penting dalam menggerakkan jentera parti.
Sehubungan itu, katanya, PKR perlu mencari pendekatan untuk menghidupkan semula semangat penyokong dan meyakinkan mereka bahawa perjuangan parti masih menjadi milik bersama.
Pengundi pelbagai kaum semakin kritikal
Dalam masa sama, Tian Chua berkata PKR turut berdepan cabaran untuk meyakinkan pengundi daripada latar belakang kaum berbeza.
Katanya, sebahagian pengundi Cina dan India melihat PKR tidak cukup tegas dalam memperjuangkan hak serta layanan yang lebih adil, manakala pengundi Melayu pula menganggap parti itu tidak benar-benar mempertahankan perkara yang mereka lihat sebagai kepentingan Melayu.
“Pada akhirnya, parti tersepit di tengah dan tidak dapat memuaskan hati mana-mana pihak,” katanya.
Namun, beliau menegaskan PKR tidak seharusnya mengorbankan prinsip perjuangan merentasi kaum hanya untuk mengejar sokongan jangka pendek.
Sebaliknya, parti itu perlu konsisten membawa dasar yang inklusif dan membina semula keyakinan rakyat dari peringkat akar umbi.
Tian Chua turut mengingatkan kepimpinan PKR supaya tidak mengambil jalan mudah dengan memperkenalkan dasar tertentu hanya apabila pilihan raya semakin hampir.
Katanya, pendekatan sedemikian berisiko dilihat sebagai usaha membeli sokongan dan bukannya perubahan yang lahir daripada keperluan rakyat.
“Jika beberapa dasar diperkenalkan hanya kerana pilihan raya semakin hampir, ramai akan melihatnya sebagai umpan dan tidak akan menerimanya.
“Kita perlu bermula dari bawah dan membina semula hubungan parti dengan rakyat,” katanya.










