ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa tindakan kerajaan negeri menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis perjudian di negeri ini dilakukan secara teliti, berhemah serta mengikut prosedur undang-undang yang ditetapkan.
Beliau berkata, langkah tegas itu tidak dilaksanakan secara terburu-buru, sebaliknya dimulakan dengan proses rundingan meja bulat bersama Kementerian Kewangan sejurus selepas pengumuman dasar dibuat pada tahun 2021.
“Kita buat langkah ini paling cermat sekali. Selepas pengumuman dibuat, kita minta Exco Kerajaan Tempatan pergi berunding dengan Kementerian Kewangan.
“Runding bos, bukan buldozer. Perbincangan diadakan dan kita beri tempoh serta ruang secukupnya kepada pihak terlibat selama setahun sebelum keputusan muktamad dikuatkuasakan pada Januari 2023,” katanya ketika berucap pada program Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Sanusi menjelaskan, meskipun lesen perjudian diluluskan oleh Kementerian Kewangan (peruntukan lesen premis), pihak berkuasa tempatan (PBT) di peringkat negeri mempunyai hak dan kuasa untuk tidak meluluskan atau memperbaharui lesen perniagaan premis berkenaan.
Menurut beliau, kerajaan negeri mengambil pendirian memberi peluang kepada premis sedia ada untuk beroperasi sehingga tarikh tamat tempoh lesen masing-masing yang berakhir secara berperingkat menjelang penghujung 2022 dan 2023.
“Pihak berwajib diberi peluang berjalan sampai lesen mereka mati. Lesen ini biasanya diperbaharui pada awal tahun. Ada yang tamat pada 2022, ada yang tamat pada 2023.
“Maka beroperasilah langkah itu mengikut saluran yang betul, sehinggalah mereka membawa kes ini ke Mahkamah pada tahun 2024 kerana industri perjudian ini adalah perniagaan yang mendatangkan keuntungan besar,” ujarnya.
Justeru, beliau meminta rakyat agar tidak beranggapan pentadbiran kerajaan negeri bertindak semberono, sebaliknya menegaskan segala proses pentadbiran telah diselaraskan dengan cermat dan teratur mengikut lunas undang-undang yang sah.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu perjudian dalam talian (online), Sanusi turut membangkitkan persoalan mengenai bidang kuasa pihak berkuasa pusat dalam membanteras kegiatan haram tersebut yang, menurutnya, turut memerlukan ketegasan pihak berwajib di peringkat persekutuan.










