Pemandu Lori Jabatan Imigresen Terlibat Kemalangan Maut Digantung Tugas

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggantung tugas sementara pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, awal pagi semalam sehingga siasatan selesai.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata tindakan itu diambil bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden yang meragut nyawa tiga sekeluarga.

Menurut beliau, jabatan itu turut memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain melaksanakan siasatan dalaman bagi meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Tindakan segera jabatan adalah menggantung tugas pemandu sehingga kes berkenaan selesai.

“Kita memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam kes ini. Pada masa sama, siasatan dalaman sedang dijalankan bagi melihat aspek pematuhan SOP,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira awal pagi semalam, sebuah lori Isuzu ‘Black Maria’ milik Jabatan Imigresen dipercayai terbabas ketika dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit sebelum merempuh pejalan kaki di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Kemalangan itu mengorbankan Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.

Isteri kepada Shaik Mohd Firdaus yang berusia 55 tahun pula dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kini berada dalam keadaan kritikal.

Siasatan lanjut berhubung punca kemalangan masih dijalankan pihak polis.

BBerkaitan

Latest articles