Ryt Bank Catat 1.5 Juta Pelanggan d Dalam Setahun

KUALA LUMPUR: Ryt Bank mencipta pencapaian besar apabila merekodkan lebih 1.5 juta pelanggan hanya dalam tempoh 12 bulan selepas dilancarkan, sekali gus muncul sebagai bank digital terbesar di Malaysia berdasarkan jumlah pelanggan.

Pencapaian itu diumumkan sempena ulang tahun pertama Ryt Bank yang diraikan sepanjang bulan Merdeka ini menerusi pelbagai pengalaman baharu, tawaran eksklusif serta ganjaran kepada pelanggan.

Lebih membanggakan, aplikasi Ryt Bank pernah menjadi aplikasi paling banyak dimuat turun di Malaysia menerusi Apple App Store dan Google Play pada Februari lalu, selain menduduki tangga pertama kategori kewangan.

Dalam tempoh setahun, fungsi kecerdasan buatan (AI) Ryt AI turut digunakan pelanggan lebih 10 juta kali bagi menguruskan pelbagai urusan perbankan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ryt Bank, Wilson Soon, berkata kejayaan itu membuktikan rakyat Malaysia menerima pendekatan perbankan yang lebih mudah, pintar dan menepati keperluan kehidupan seharian.

“Belum pernah ada bank seperti ini dibangunkan di Malaysia, dan pasukan yang menjadikannya satu realiti terdiri sepenuhnya daripada rakyat Malaysia.

“Kami berbangga kerana dapat membuktikan apa yang boleh dicapai apabila kita mencabar semula tanggapan mengenai kemampuan sebuah bank,” katanya.

Ryt Bank turut menyediakan pengalaman perbankan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Cina, selaras usaha memastikan perkhidmatannya lebih dekat dengan cara rakyat Malaysia berkomunikasi.

Antara pemacu utama platform itu ialah Ryt AI yang dikuasakan ILMU, model bahasa besar berdaulat yang dibangunkan di Malaysia oleh YTL AI Labs.

Teknologi berkenaan kini bukan sekadar membantu menjawab pertanyaan pelanggan, malah mampu membaca resit, imej dan lampiran serta mengendalikan beberapa permintaan dalam satu perbualan.

Malah, sekiranya berlaku masalah ketika pembayaran, Ryt AI boleh mencadangkan langkah penyelesaian kepada pelanggan berbanding hanya memaparkan mesej ralat.

Terbaharu, Ryt Bank memperkenalkan Ryt Groups bagi memudahkan pengguna membahagi dan menyelesaikan perbelanjaan bersama.

Melalui ciri itu, pelanggan hanya perlu mengimbas resit sebelum Ryt AI menyenaraikan pembelian, mengambil kira Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta caj perkhidmatan jika berkenaan, sebelum mengira jumlah yang perlu dibayar setiap individu.

Penyelesaian bayaran kemudiannya boleh dilakukan terus dalam aplikasi tanpa memerlukan pengiraan secara manual.

Bagi tempoh pelancaran, pelanggan yang menggunakan Ryt Groups akan menerima baucar foodpanda bernilai sehingga RM15.

Ryt Bank turut menawarkan ganjaran rujukan sehingga RM100 atau RM5 yang dijamin kepada pelanggan dan rakan bagi setiap rujukan berjaya sepanjang kempen ulang tahun itu.

Menurut Wilson, Ryt Groups hanyalah permulaan kepada lebih banyak inovasi yang akan diperkenalkan sepanjang Ogos.

Antaranya termasuk kemunculan semula Kad Ryt Edisi Terhad serta ciri baharu yang paling banyak diminta pelanggan.

“Tahun pertama kami telah jauh melangkaui jangkaan dan menyedarkan kami betapa banyak lagi yang boleh dilakukan.

“Sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia menunjukkan sememangnya terdapat permintaan terhadap pengalaman perbankan yang berbeza.

“Kami berbangga dengan apa yang telah dibina, tetapi lebih teruja dengan apa yang bakal hadir selepas ini. Perjalanan kami baru sahaja bermula,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles