PUTRAJAYA: Jemaah Menteri meluluskan 17 syor penambahbaikan menerusi Memorandum Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu-pintu masuk antarabangsa negara.
KDN dan MOT dalam kenyataan media bersama pada Khamis memaklumkan, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu itu menyaksikan enam tindakan utama berstatus ‘Quick Wins’ (langkah segera) akan diberi keutamaan pelaksanaan dalam fasa jangka pendek.
Menurut kenyataan itu, enam langkah segera berkenaan merangkumi pelaksanaan saringan bersasar berasaskan risiko terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti berisiko.
“Enam langkah segera ini merupakan keutamaan pelaksanaan dalam fasa jangka pendek dan sebahagian daripada pelan tindakan menyeluruh yang dirangka bagi memperkukuh integriti kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pintu-pintu masuk antarabangsa negara,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Langkah ‘Quick Wins’ turut merangkumi kawalan e-Vetting dan akses yang diperketat terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi pengendalian darat, pekerja pengendali lapangan terbang, vendor serta kontraktor.
Selain itu, pelaksanaan saringan dadah secara pra-pengambilan, berkala dan rawak akan dipertingkatkan terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan berkaitan.
“Bagi meningkatkan kehadiran nyata (omnipresence) keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik, disokong dengan penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif penugasan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA,” jelas kenyataan itu lagi.
Dua lagi tindakan segera melibatkan penyelarasan dan perkongsian maklumat keselamatan serta risikan menerusi National Immigration Command Centre (NICC), selain penubuhan segera Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha kedua-dua kementerian bagi memantau pelaksanaan pelan tersebut.
Mengulas lanjut, pelan tindakan menyeluruh itu dirangka susulan beberapa insiden berprofil tinggi yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti keselamatan negara, termasuk penahanan seorang warganegara Malaysia di Indonesia kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah.
KDN dan MOT menjelaskan bahawa KLIA akan dijadikan sebagai lokasi perintis bagi pelaksanaan pelan keselamatan tersebut sebelum diperluaskan secara berperingkat ke pintu-pintu masuk antarabangsa yang lain.
“Pelaksanaan keseluruhan 17 syor turut merangkumi tindakan sederhana dan panjang.
“Fasa jangka sederhana akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia, manakala fasa jangka panjang melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan melalui KDN dan MOT menegaskan komitmen untuk memastikan setiap syor dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berlandaskan undang-undang.
“Langkah ini akan memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan integriti pintu masuk antarabangsa serta mengekalkan keyakinan rakyat, pelancong dan komuniti penerbangan antarabangsa terhadap sistem keselamatan Malaysia,” kata kenyataan itu.










