KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Amanah Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang baharu.
Pelantikan beliau diumumkan oleh MADA menerusi satu hantaran di laman media sosial rasmi agensi berkenaan bagi merakamkan ucapan tahniah mewakili seluruh warga kerja dan peladang agensi itu.
MADA dalam kenyataan tersebut memaklumkan, pelantikan Wan Kharizal diharap mampu memberikan dorongan baharu dalam memperkukuh peranan agensi memperkasakan sektor pertanian tempatan.
”Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh usaha MADA dalam menangani cabaran sektor padi serta memastikan keperluan, kebajikan dan kepentingan peladang di Kawasan Muda terus diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Wan Kharizal, 63, merupakan tokoh politik veteran yang konsisten dalam arena politik negara dan kini mengetuai Amanah di negeri Perlis.
Berdasarkan rekod penglibatan dalam pilihan raya, beliau pernah bertanding sebanyak enam kali mewakili gabungan parti pembangkang dan Pakatan Harapan (PH) sejak tahun 1999 hingga 2022.
Antara kerusi yang pernah ditandingi beliau termasuk Kerusi Parlimen Padang Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) serta beberapa Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis seperti Chuping (PRU10), Mata Ayer (PRU12), Beseri (PRU13 dan PRU14) serta Kayang (PRU15).










