Kes Rocky: Lelaki Didakwa Hari Ini, Wanita Berdepan Pertuduhan Tambahan

KLANG: Seorang lelaki yang dikaitkan dengan operasi penangkapan anjing sehingga mati, Rocky, dijadualkan berdepan pertuduhan di mahkamah hari ini.

Seorang wanita yang turut dikaitkan dengan kejadian berkenaan pula dijangka menghadapi pertuduhan tambahan di dua mahkamah berasingan.

Kedua-duanya dijangka hadir di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mujib Saroji, manakala wanita terbabit turut akan menghadapi pertuduhan tambahan di hadapan Majistret A Karthiyayini.

Bagaimanapun, butiran mengenai seksyen dan akta yang akan digunakan dalam pertuduhan masih belum disahkan.

Kes itu mendapat perhatian meluas selepas Rocky mati ketika operasi penguatkuasaan di Taman Teluk Gedong Indah, Pelabuhan Klang, pada 29 Julai lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, semalam menggesa orang ramai supaya tidak menganjurkan sebarang perhimpunan atau demonstrasi berkaitan kematian Rocky.

Nasihat itu dibuat ketika kes berkenaan terus mencetuskan perhatian dan reaksi orang ramai susulan penyebaran video kejadian di media sosial.

Lelaki yang bakal didakwa, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, sebelum ini menafikan dakwaan mendera atau membunuh Rocky ketika operasi berkenaan.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Mahmud Abdul Jumaat, berkata anak guam mereka menerima saman daripada pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi hari ini.

Shah sebelum ini mendakwa kehadirannya di lokasi semata-mata bagi menjalankan tugasan yang diberikan dan menafikan dakwaan bahawa dia melakukan penderaan terhadap Rocky.

Menurutnya, penularan video yang mengaitkannya dengan tindakan menyeksa dan membunuh anjing itu telah memberi tekanan besar terhadap dirinya, termasuk menerima kecaman serta ugutan bunuh.

Rafique pula sebelum ini menjelaskan bahawa Shah berada di lokasi sebagai wakil komuniti selepas menerima jemputan bertulis daripada Rukun Tetangga Jalan Sama Gagah, Taman Teluk Gedong Indah, untuk membantu operasi rasmi bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Sementara itu, pemilik Rocky sebelum ini mendakwa dia menemui anjing berkenaan dalam keadaan terjerat pada leher selepas pulang ke rumah pada hari kejadian.

Menurut pemiliknya, beberapa rayuan supaya individu di lokasi melepaskan Rocky tidak diendahkan, malah dia turut menawarkan untuk mengambil semula anjing berkenaan.

Kes itu kemudian mencetuskan siasatan rasmi apabila Jabatan Veterinar membuat laporan polis pada 2 Ogos lalu.

Beberapa individu turut dipanggil bagi membantu siasatan terhadap dakwaan penderaan yang dirakam dalam video berkenaan.

Jabatan itu berkata Pasukan Kebajikan Haiwan membuat laporan selepas menerima bangkai seekor anjing jantan yang dipercayai Rocky.

Video yang tular menunjukkan beberapa individu mengikat dan menarik anjing berkenaan menggunakan tali pada lehernya, manakala seorang wanita dilihat merayu supaya haiwan itu dilepaskan.

BBerkaitan

Latest articles