SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa terbuka untuk menerima sebarang aduan daripada para pelajar atau mana-mana pihak sekiranya wujud sebarang elemen, tanda, mahupun potensi berlakunya insiden gangguan atau amang seksual di sekolah dan asrama.
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah menegaskan, langkah itu bagi memastikan tindakan undang-undang yang wajar dapat diambil dengan segera demi menjamin premis pendidikan kekal sebagai tempat yang selamat.
Beliau turut menzahirkan kekesalan mendalam berhubung insiden amang seks songsang yang melibatkan seorang guru terhadap pelajar di sebuah sekolah agama di negeri ini baru-baru ini.
”Lebih malang perkara ini berlaku di sekolah agama di mana guru sewajarnya bukan sahaja menjadi pendidik, bahkan lebih penting guru hendaklah menjadi penjaga kepada pelajar yang sedang bertumbuh fizikal, akal dan emosinya.
”Saya berharap pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat rapi kes ini dan individu yang disyaki mendapat hukuman yang setimpal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Mohammad Fahmi, beliau yakin JAIS akan mengambil tindakan yang wajar selaras dengan undang-undang sedia ada jika perkara tersebut berkaitan, termasuk melihat semula status pendaftaran sekolah berkenaan.
Jelas beliau, JAIS sebelum ini telah pun mengambil langkah-langkah yang sewajarnya berhubung isu tersebut bagi mengekang potensi kelakuan tidak bermoral oleh guru kepada pelajar, mahupun antara sesama guru atau pelajar.
Sehubungan itu, beliau mendesak jemaah pengurusan sekolah supaya mengambil tindakan tegas dalam membanteras perkara sedemikian daripada terus berulang di premis masing-masing.
”Pihak sekolah perlu tegas dan melaksanakan polisi tidak kompromi dan dasar ‘You do this, you go’.
”Tindakan undang-undang yang wajar akan segera diambil dan tiada kompromi kepada mana-mana pesalah.
“Sekolah harus menjadi tempat selamat kepada anak-anak kita,” tegasnya.










