KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kemalangan maut membabitkan lori Jabatan Imigresen yang merempuh tiga sekeluarga di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kertas siasatan itu akan dibawa sendiri Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) bersama pegawai penyiasat ke Putrajaya pada jam 8 pagi esok.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan pihak pendakwaan pada jam 2.45 petang tadi, selepas kertas siasatan berkenaan diteliti.
“Pihak pendakwaan kemudian mencadangkan supaya kertas siasatan berkenaan dirujuk kepada Ketua Unit Bahagian Jenayah Am dan Ketenteraman Awam, Jabatan Peguam Negara Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, kedua-dua pemandu yang terbabit dalam kemalangan itu, masing-masing pemandu lori Jabatan Imigresen dan Proton Saga, sudah dibawa untuk permohonan reman.
Bagaimanapun, kedua-duanya hanya dibenarkan direman selama satu hari.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, iaitu kesalahan menyebabkan kematian akibat pemanduan secara melulu atau membahayakan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, tiga sekeluarga maut selepas dilanggar lori jenis Isuzu Black Maria yang terbabas ketika melalui persimpangan lampu isyarat berkenaan.
Mangsa ialah seorang lelaki berusia 53 tahun serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.
Kemalangan itu sekali gus mencetuskan persoalan serius berhubung keadaan dan punca lori terbabit terbabas sehingga merempuh pejalan kaki, dengan siasatan kini memasuki peringkat penilaian pihak pendakwaan.
Rujukan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara esok dijangka menjadi langkah penting bagi menentukan tindakan lanjut terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam tragedi yang meragut tiga nyawa itu.










