KUALA LUMPUR: Peruntukan kawasan Parlimen tidak seharunya dijadikan sebagai instrumen atau senjata politik oleh pihak kerajaan untuk menolak atau memberi hak rakyat berdasarkan kedudukan politik sesebuah parti.
Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee menegaskan, peruntukan berkenaan merupakan wang rakyat yang wajib disalurkan untuk kepentingan masyarakat di semua kawasan Parlimen secara adil, telus dan berintegriti tanpa mengira pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan agar menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang secara adil dengan menginstitusikan mekanismenya melalui gubalan Rang Undang-Undang (RUU).
“Peruntukan Ahli Parlimen tidak seharusnya menjadi instrumen politik kerajaan yang boleh diberi atau dinafikan berdasarkan siapa yang memerintah dan siapa yang menjadi pembangkang.
“Ia perlu menjadi satu hak yang tertakluk kepada peraturan yang jelas, telus dan terpakai secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen.
“Jangan jadikan peruntukan rakyat sebagai alat politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ronald yang juga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyambut baik kenyataan terbuka beberapa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan berhubung isu penyaluran peruntukan berkenaan.
Antara yang menyuarakan pandangan termasuk Ahli Parlimen Puchong yang juga Menteri Kabinet, Gobind Singh Deo serta Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
“Tuntutan dan desakan Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini dibiarkan berlarutan selama empat tahun dan disambut dengan pelbagai tohmahan serta retorik politik.
“Namun, saya bersyukur kerana tuntutan yang sama akhirnya kini datang daripada Ahli Parlimen kerajaan sendiri.
“Kerajaan tidak lagi boleh mengatakan tuntutan ini hanya datang daripada pihak pembangkang,” jelas beliau.
Beliau turut menyeru Ahli Parlimen kerajaan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk tampil menyatakan pendirian secara terbuka berhubung isu berkenaan.
Ujar beliau, sekiranya agenda reformasi yang sering dilaungkan benar-benar berasaskan prinsip, kerajaan perlu mengambil langkah tuntas menerusi perundangan supaya keadilan tidak lagi bergantung kepada pertimbangan kepentingan politik semata-mata.










