SPRM Sahkan Siasatan Terhadap Xavier Ditutup, Bukti Tak Cukup Untuk Pertuduhan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan rasuah terhadap bekas Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar, telah diklasifikasikan sebagai ‘kemas untuk simpan’ (KUS) pada 2024 selepas penelitian mendapati tiada keterangan mencukupi untuk mendakwanya.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata, dua kertas siasatan terhadap bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu dibuka pada 2021 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Menurut SPRM, keputusan menutup dan menyimpan kertas siasatan berkenaan dibuat oleh timbalan pendakwa raya selepas siasatan terhadap fakta, dokumen serta keterangan berkaitan selesai dijalankan.

“Setelah siasatan dan penelitian terhadap fakta, dokumen serta keterangan berkaitan dilaksanakan, timbalan pendakwa raya telah membuat keputusan ‘kemas untuk simpan’ (KUS) kes tersebut pada 2024 kerana tiada keterangan mencukupi untuk menuduh Xavier,” katanya.

SPRM menjelaskan tempoh sesuatu siasatan bergantung kepada tahap kompleksiti kes serta keperluan mendapatkan, meneliti dan mengesahkan maklumat dan keterangan berkaitan.

Tegasnya, setiap siasatan dijalankan secara profesional dan telus berdasarkan fakta serta keterangan, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Sehubungan itu, SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung perkara berkenaan memandangkan siasatan telah selesai,” katanya.

Perkembangan itu hadir selepas bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Kua Kia Soong, sebelum ini mempersoalkan status siasatan terhadap Xavier.

Kua dilaporkan menyatakan ketiadaan kejelasan mengenai perkara itu boleh mewujudkan jurang dari sudut kebertanggungjawaban, selain menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti institusi yang bertanggungjawab menyiasat amalan rasuah.

Siasatan terhadap Xavier sebelum ini mendapat perhatian susulan penahanan rakan rapatnya, M A Thinagaran, oleh SPRM.

Thinagaran ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan projek yang dianugerahkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pada 2019, ketika Xavier menerajui kementerian berkenaan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Ketika meletakkan jawatan daripada PKR, Xavier dilaporkan sedang disiasat SPRM berhubung perkara tersebut.

Kali terakhir status siasatan itu dilaporkan secara terbuka adalah pada Mac 2022, apabila SPRM menyatakan siasatan terhadap Xavier masih berjalan.

Dalam perkembangan politik terbaharu, Xavier baru-baru ini mengesahkan kembali ke pangkuan PKR selepas kira-kira lima tahun meninggalkan parti berkenaan.

Beliau meninggalkan PKR ketika parti itu berada dalam pembangkang dan kemudiannya menyokong pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Ahli Parlimen bebas.

Pada 2022, Xavier menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), namun tidak mendedahkan alasan meninggalkan PKR mahupun sebab menyertai parti baharu itu.

BBerkaitan

Latest articles