KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa agar meneliti semula jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 dan merangka ketetapan yang lebih munasabah demi keselesaan serta emosi para calon.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, langkah itu penting selepas beliau menerima maklum balas dan keresahan daripada ibu bapa serta calon terbabit berhubung penyusunan tarikh peperiksaan terkini.
Menurut beliau, berdasarkan jadual peperiksaan yang dikeluarkan, tahun 2026 menunjukkan perubahan ketara apabila Ujian Mendengar dilaksanakan pada hari yang sama dengan Ujian Bertulis.
“Situasi ini tidak pernah berlaku sejak ujian mendengar diperkenal semula pada tahun 2021.
“Bagi tahun 2026, Ujian Mendengar Bahasa Melayu dan Ujian Bertulis Bahasa Melayu dijadualkan pada tarikh yang sama iaitu pada 23 November 2026.
“Begitu juga bagi subjek Bahasa Inggeris, di mana Ujian Mendengar dan Ujian Bertulis ditetapkan pada 24 November 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Bekas Menteri Pendidikan itu menegaskan, pertimbangan semula oleh pihak KPM wajar dibuat bagi mengelakkan tekanan berlebihan kepada calon yang perlu menduduki dua format ujian berbeza bagi subjek utama dalam tempoh sehari.
“Mengambil kira input dan pandangan yang diberikan oleh ibu bapa serta calon SPM 2026, saya berpandangan elok pihak KPM meneliti semula jadual ini dan merangka ketetapan yang lebih munasabah,” tambahnya lagi.










