BATU PAHAT: Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun diperintahkan menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membabitkan perbuatan tidak senonoh dan kelucahan melampau terhadap ibu kandungnya.
Perintah itu dibuat Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas Majistret Mustaqim Sukarno mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh serta laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik tanpa cagaran selama tiga tahun dengan beberapa syarat, antaranya ibu bapa tertuduh perlu berhubung dengan pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat berkaitan sesi kaunseling dan perkembangan disiplin anak mereka.
Ibu bapa tertuduh juga diarahkan melawatnya secara berkala, sekurang-kurangnya sebulan sekali sepanjang tempoh dia ditempatkan di sekolah berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan ibu kandungnya, 43, dengan menyuruh wanita itu melakukan sesuatu terhadapnya.
Perbuatan itu didakwa berlaku kira-kira jam 5 petang, 1 Jun lalu di sebuah rumah di daerah ini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap ibunya pada tarikh, waktu dan lokasi sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).










