KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor digesa supaya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan kebenaran rayuan berhubung dasar kerajaan negeri berkaitan lesen premis perjudian.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, Sanusi perlu mematuhi keputusan tersebut dan bukannya cuba mencari jalan untuk mengelak daripada melaksanakannya.
Beliau memberi amaran bahawa sebarang usaha untuk membelakangkan keputusan mahkamah berkenaan berisiko membawa kepada tindakan penghinaan mahkamah.
“Sanusi harus menerima hakikat bahawa perjudian berlesen merupakan sebahagian daripada kehidupan di Malaysia dan lesen premis perniagaan berkaitan perjudian adalah dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan kerana ia tidak menjejaskan sensitiviti orang bukan Islam di negara ini.
“Fokus beliau sepatutnya tertumpu kepada usaha mengenalpasti kaedah penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi menangani isu pembabitan umat Islam dalam aktiviti perjudian,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran rayuan kerajaan negeri Kedah terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan dasar tidak memeperbaharui lesen perniagaan berkaitan perjudian di negeri itu sebagai tidak berperlembagaan kerana melampaui bidang kuasa Persekutuan.
Mengulas lanjut, Ramkarpal yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkata, tindakan mengehadkan atau mengharamkan perjudian berlesen hanya akan memarakkan lagi aktiviti perjudian haram dan pasar gelap.
Jelas beliau, aktiviti seperti perjudian dalam talian yang dikendalikan oleh individu atau sindiket haram berisiko meningkat jika premis berlesen ditutup.
“Memandangkan isu perjudian berlesen ini telah pun diputuskan secara muktamad oleh mahkamah, Sanusi perlu menerima realiti bahawa aktiviti ini adalah sah dari segi undang-undang.
“Kerajaan Negeri Kedah sepatutnya bekerjasama dengan agensi Persekutuan seperti Kementerian Kewangan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membanteras penglibatan orang Islam dalam aktiviti tersebut,” katanya.










