“Tak Masuk Akal Najib Bermesyuarat Dengan Diri Sendiri” – Shafee

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini menunjukkan dokumen yang dikatakan sebagai minit mesyuarat membabitkan bekas Perdana Menteri itu telah disediakan terlebih dahulu oleh Low Taek Jho atau Jho Low.

Bercakap kepada media selepas prosiding mahkamah hari ini, Muhammad Shafee berkata pemeriksaan balas terhadap Shahrol turut menyentuh sama ada mesyuarat yang dirujuk dalam dokumen berkenaan benar-benar berlaku.

Menurut beliau, Shahrol akhirnya mengakui bahawa mesyuarat berkenaan tidak berlaku.

“Jadi hari ini kita dah tentukan bahawa adalah tak masuk akal Datuk Seri Najib ada mesyuarat dengan dia sendiri. Maksudnya, dia bercakap dengan dirinya sendiri.

“Dia cerita dan ada orang pula ambil nota. Datuk Shahrol ambil nota mengatakan ini adalah mesyuarat. Tadi dia mengaku tak ada mesyuarat,” katanya.

Muhammad Shafee mendakwa Shahrol turut mengakui bahawa dokumen yang dikatakan sebagai minit mesyuarat itu telah disediakan Jho Low sebelum mesyuarat berkenaan dikatakan berlangsung.

“Dia mengaku bahawa minit yang dikatakan minit mesyuarat telah pun direka oleh Jho Low sebelum mesyuarat tersebut.

“Dia dah reka bentuk semua dan kandungan, semuanya Jho Low yang buat. Shahrol sebagai CEO begitu mudah ambil dokumen tersebut dan dia kata dia suruh Datuk Seri Najib tandatangan,” katanya.

Muhammad Shafee berkata pihak pembelaan turut mempertikaikan tandatangan Najib pada dokumen berkenaan.

Menurut beliau, pihak pembelaan mempunyai keterangan pakar tandatangan yang menyokong pendirian bahawa tandatangan berkenaan bukan milik Najib.

“Kita dah tahu, kita ada keterangan bahawa Datuk Seri Najib tak tandatangan sebab kita ada pakar tandatangan yang mengatakan itu bukan Datuk Seri Najib punya tandatangan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan bahawa Najib boleh diberikan penerangan mengenai urusan korporat yang kompleks dalam tempoh sekitar 20 hingga 30 minit pada lewat malam.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata perkara utama yang timbul daripada pemeriksaan balas hari ini ialah pengakuan yang menurutnya dibuat Shahrol bahawa mesyuarat berkenaan tidak berlaku dan bahan berkaitan telah disediakan Jho Low.

“Soal pokok ialah dia mengaku mesyuarat itu tidak berlaku. Semuanya dibekalkan oleh Jho Low.

“Jadi nampak sangat, dia berkonspirasi dengan Jho Low. Bukan berkonspirasi dengan Perdana Menteri, dengan Jho Low,” dakwanya.

Muhammad Shafee berkata isu sama turut disentuh ketika pemeriksaan balas oleh peguam G.K. Ganesan sehari sebelumnya.

Menurut beliau, dalam pernyataan tuntutan 1MDB, Najib didakwa berkonspirasi dengan Shahrol dan Jho Low untuk menipu 1MDB.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan balas pihak pembelaan bertujuan menunjukkan bahawa urusan berkenaan sebenarnya berlaku antara Shahrol dan Jho Low tanpa pengetahuan Najib.

“Orang yang berkonspirasi ialah Shahrol dengan Jho Low. Datuk Seri Najib tak tahu langsung.

“Tetapi diatur dengan begitu rapi supaya Datuk Seri Najib akan dituduh atau dipersalahkan. Itulah yang berlaku,” dakwanya.

Shafee persoal penarikan tuntutan terhadap Shahrol

Dalam perkembangan sama, Muhammad Shafee turut mempersoalkan tindakan menarik balik tuntutan sivil terhadap Shahrol ketika beliau sedang memberikan keterangan dalam perbicaraan jenayah 1MDB.

Menurutnya, Shahrol sebelum itu merupakan antara individu yang dinamakan dalam tindakan sivil membabitkan tuntutan bernilai berbilion ringgit.

Muhammad Shafee berkata Shahrol sendiri, berdasarkan jawapannya ketika pemeriksaan balas, tidak mengetahui mengapa tuntutan terhadapnya ditarik balik.

“Dia sendiri tak tahu kenapa tuntutan terhadap dia ditarik balik. Itu macam orang Melayu kata, ‘durian runtuh’. Satu keuntungan yang sangat besar,” katanya.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan ketika pemeriksaan balas bahawa penarikan tuntutan itu mungkin mempunyai kaitan dengan kedudukan Shahrol sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan jenayah 1MDB.

Beliau mendakwa mungkin terdapat rundingan melibatkan pihak pendakwaan ketika mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram terlibat dalam pasukan pendakwaan dan Tan Sri Tommy Thomas merupakan Peguam Negara.

“Saya mendakwa bahawa mungkin terdapat konspirasi untuk menarik balik tindakan itu supaya dia boleh memberikan keterangan dengan bebas,” katanya.

Dakwaan berhubung kewujudan konspirasi itu bagaimanapun merupakan pendirian yang dikemukakan Muhammad Shafee ketika pemeriksaan balas dan bukan suatu dapatan mahkamah.

Muhammad Shafee turut mempersoalkan mengapa Shahrol tidak memohon perlindungan daripada mahkamah ketika memberikan keterangannya.

Menurutnya, Shahrol boleh memohon perlindungan sedemikian di bawah Seksyen 132, namun tidak berbuat demikian.

Muhammad Shafee mendakwa keadaan itu menunjukkan Shahrol yakin bahawa tiada tindakan akan dikenakan terhadapnya.

Beliau berkata tuntutan terhadap Shahrol ditarik balik tanpa kebenaran untuk memfailkan semula tindakan yang sama.

“Kami hanya menerima penarikan balik tanpa kebenaran untuk memfailkan semula.

“Kami tidak tahu apa sebabnya dan kami tidak dimaklumkan mengenainya,” katanya.

Ditanya sama ada perkembangan daripada pemeriksaan balas Shahrol boleh digunakan dalam prosiding lain membabitkan Najib, Muhammad Shafee berkata pihak pembelaan akan meneliti sebarang keterangan baharu yang tidak pernah timbul sebelum ini.

“Kita boleh gunakan. Kita nak tunggu peluang, kalau ada sesuatu yang baharu, yang tidak ada dalam perbincangan awal, kita boleh guna pakai. Kita akan pilih,” katanya.

Mengulas semula mengenai dokumen yang dikatakan sebagai minit mesyuarat itu, Muhammad Shafee menegaskan bahawa pihaknya mempertikaikan ketulenan dokumen berkenaan, termasuk tandatangan yang dikatakan milik Najib.

“Dia mengaku semuanya itu dan dia akhiri dengan mengatakan mesyuarat itu tidak berlaku.

“Tandatangan dia, tandatangan Datuk Seri Najib, semua itu palsu. Sebab orang yang siapkan benda itu ialah Jho Low,” dakwanya.

Ketika ditanya sama ada Shahrol boleh berdepan tindakan berhubung perkara berkenaan, Muhammad Shafee mendakwa perbuatan sedemikian, sekiranya dibuktikan, boleh menimbulkan isu berkaitan cubaan mengelirukan mahkamah.

BBerkaitan

Latest articles