Anwar Arah Siasatan Segera Kemalangan Maut Tiga Sekeluarga Dirempuh Lori Imigresen

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Imigresen menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung kemalangan tragis membabitkan lori agensi itu yang mengorbankan tiga sekeluarga di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.

Anwar berkata, tindakan tegas perlu diambil sekiranya siasatan mendapati wujud unsur kecuaian atau pelanggaran undang-undang dalam kejadian berkenaan.

“Salam takziah buat mereka yang terkorban dalam insiden tragis ini. Jika terdapat kecuaian atau pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya mesti diambil tanpa kompromi,” katanya menerusi Facebook.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, tiga pejalan kaki yang juga satu keluarga maut, manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh lori Jabatan Imigresen di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail.

Mangsa yang maut ialah seorang lelaki berusia 53 tahun bersama dua anak perempuannya masing-masing berusia 25 dan 12 tahun.

Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Datuk Zamzuri Mohd Isa, berkata lori berkenaan dipandu lelaki berusia 43 tahun yang ketika itu dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju ke Chow Kit untuk mengambil orang kena tahan (OKT) susulan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipercayai memasuki persimpangan ketika lampu isyarat di laluannya berwarna merah, dengan lampu amaran dan siren kenderaan diaktifkan.

Sebuah Proton Saga yang bergerak lurus ketika lampu isyarat berwarna hijau kemudian tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan lori terbabit.

Impak perlanggaran menyebabkan lori itu hilang kawalan sebelum merempuh empat pejalan kaki yang ketika itu berada di kawasan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles