Johor Peruntuk RM22.2 Bantu 6,000 Penerima PKJ Fasa 5

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor terus memperkasakan agenda perumahan rakyat menerusi peruntukan sebanyak RM22.2 juta bagi menjayakan Majlis Penyerahan Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 5.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif berkenaan memberi manfaat secara langsung kepada seramai 6,000 penerima menerusi tiga komponen utama iaitu Bantuan Beli Rumah, Bantuan Masuk Rumah dan Bantuan Sewa Rumah.

Beliau turut menyatakan penghargaan setinggi-tingginya kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menekankan kepentingan agenda perumahan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan Bangsa Johor terus terbela.

“Menerusi majlis ini juga, saya mengumumkan pelaksanaan Skim Bantuan Deposit Sewa Rumah yang akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Menerusi skim ini, setiap penerima bakal menerima bantuan RM1,000 bagi deposit sewaan rumah, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM35 juta yang disasar memberi manfaat kepada 10,000 penerima,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya pada Rabu.

Mengulas lanjut mengenai program PKJ, Onn Hafiz memaklumkan secara keseluruhannya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM59.859 juta sepanjang pelaksanaan lima fasa program berkenaan.

Jelas beliau, jumlah itu merangkumi manfaat kepada 15,126 penerima secara keseluruhan, melibatkan 9,569 penerima Bantuan Beli Rumah, 3,524 penerima Bantuan Masuk Rumah dan 2,033 penerima Bantuan Sewa Rumah.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor; Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT), para pemaju serta seluruh agensi yang menjayakan agenda berkenaan.

“Semoga agenda perumahan Johor terus diperkasa agar lebih ramai Bangsa Johor mempunyai tempat berteduh yang selesa dan terjamin.

“Kerajaan negeri akan terus berusaha memperluas akses kepada perumahan mampu milik demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles