KUANTAN: Kerajaan Pahang berjaya mengeluarkan kesemua 2,913 Ketua Isi Rumah (KIR) yang direkodkan sebagai miskin tegar dalam lock figure negeri itu daripada status berkenaan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pencapaian itu hasil pelaksanaan pelbagai bentuk bantuan, inisiatif dan intervensi bersasar oleh kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan serta agensi berkaitan.
Menurutnya, kategori miskin tegar merujuk kepada isi rumah dengan pendapatan per kapita kurang daripada RM372 sebulan bagi kawasan bandar dan RM345 bagi luar bandar.
“Lebih membanggakan, Pahang turut berjaya memangkas kemiskinan sebanyak 30 peratus apabila 4,263 daripada 14,210 KIR yang berstatus miskin pada 5 Jun lalu berjaya dikeluarkan daripada kelompok itu.
“Kategori miskin pula merujuk kepada pendapatan per kapita kurang daripada RM790 sebulan di bandar dan RM714 di luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Rosdy berkata, penentuan status miskin dan miskin tegar itu dibuat berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di bawah Kementerian Ekonomi.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pencapaian itu tidak boleh dianggap sebagai penamat kepada usaha membasmi kemiskinan kerana data dalam Sistem eKasih sentiasa berubah mengikut kedudukan sosioekonomi sesebuah isi rumah.
Katanya, perubahan pendapatan, kehilangan pekerjaan serta pertambahan atau pengurangan ahli keluarga, termasuk anak KIR yang berpindah selepas berkahwin atau mendapat pekerjaan, boleh menyebabkan perubahan status sesebuah keluarga.
“Justeru, pencapaian ini bukan bermakna usaha membasmi kemiskinan selesai, sebaliknya ia menuntut tindakan, pemantauan dan intervensi yang berterusan,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi bantuan, pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil rakyat dan pemimpin masyarakat bagi memastikan keluarga yang masih berada dalam kategori miskin serta miskin tegar terus menerima bantuan mengikut keperluan.
Wan Rosdy berkata, matlamat kerajaan negeri bukan sekadar mengeluarkan rakyat daripada rekod kemiskinan, tetapi memastikan mereka mampu berdikari, memiliki sumber pendapatan lebih kukuh dan menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
“Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pendekatan memangkas kemiskinan ini demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dapat dirasai seluruh rakyat Pahang,” katanya.










