Ruddy Awah Bakal Lafaz Syahadah Di Pitas

KOTA KINABALU: Pengalaman puluhan tahun menyantuni masyarakat berbilang agama serta membantu rumah ibadat di kawasan Pitas menjadi pendorong utama Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Dr Ruddy Awah untuk memilih Islam sebagai pegangan hidupnya.

ADUN Pitas berusia 58 tahun itu bakal melafazkan dua kalimah syahadah secara rasmi dalam ‘Majlis Hijrah ADUN N.03 Pitas’ yang dijadualkan berlangsung pada 22 dan 23 Ogos ini di rumah kediamannya di Kampung Salimpodon Laut, Pitas.

Beliau berkata keputusan memeluk Islam dibuat atas keikhlasan hati selepas hidayah sampai kepadanya, selain mengambil masa lebih 10 tahun memikirkan serta mempelajari tatacara dan ceramah agama berkenaan.

“Keputusan ini bukanlah disebabkan faktor politik, keluarga atau sebarang tawaran daripada mana-mana pihak.

“Sebelum ini, isteri dan lima daripada enam anak saya telah pun memeluk Islam lebih awal.

“Sudah 10 tahun isteri mengajak saya, namun ketika itu hidayah belum sampai. Apabila tiba masanya, hati saya terbuka tanpa sebarang paksaan,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut, Ruddy berkata tugasnya sebagai wakil rakyat menuntut beliau mendekati semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman agama, termasuk menyalurkan sumbangan tahunan sebanyak RM1,000 kepada setiap 1,001 gereja, surau dan masjid di daerah Pitas.

Beliau yang sebelum ini berpegang kepada kepercayaan pagan turut menganjurkan majlis berbuka puasa, menyumbang lembu korban, serta menanggung elaun bulanan RM1,000 menggunakan wang peribadi bagi sembilan guru Fardu Ain untuk mengajar al-Quran di kawasan berkenaan.

Selain itu, penyediaan perkhidmatan van jenazah percuma untuk kegunaan umat Islam dan Kristian serta sumbangan kain kafan di surau-surau tempatan turut membuka hatinya untuk mendalami Islam.

“Dengan adanya bantuan kepada rumah ibadat, guru Fardu Ain, kemudahan van jenazah percuma dan kain kafan di setiap surau, perkara-perkara inilah yang membuatkan hati saya semakin terbuka.

“Saya juga baru sahaja siap membina sebuah surau di kawasan kediaman saya dua bulan lepas,” katanya.

Ruddy menegaskan keputusannya itu tidak menjejaskan hubungan dengan keluarga besar mahupun masyarakat Kristian di Pitas, memandangkan penjelasan mengenainya telah diberikan lebih awal.

BBerkaitan

Latest articles