KUALA LUMPUR: Pembahagian peruntukan kewangan kepada Ahli Parlimen perlu mengambil kira faktor keadilan dan kadar saiz populasi serta pengundi, bukan sekadar memberikan jumlah yang sama rata secara membuta tuli.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menegaskan, sebarang undang-undang yang bakal digubal untuk mengkanunkan dana kawasan Parlimen wajar bersifat berkadaran (proportionate) mengikut keadaan khusus dan parameter sesebuah kawasan.
Menurut beliau, kawasan Parlimen bersaiz mega seperti Bangi yang mempunyai lebih 300,000 pengundi berdaftar serta dimakmurkan oleh lebih 700,000 penduduk memerlukan perhatian berbeza berbanding kawasan yang bersaiz lebih kecil.
“Ahli Parlimen secara praktikalnya perlu berkhidmat kepada seluruh penduduk, bukannya pengundi semata-mata kerana perkhidmatan tidak boleh mendiskriminasikan mana-mana pihak.
“Dari segi jumlah pengundi, Bangi adalah kira-kira tiga kali ganda lebih besar berbanding purata kebangsaan.
“Sebagai perbandingan, kawasan jiran seperti Hulu Langat mempunyai sekitar 160,000 pengundi, Puchong kira-kira 150,000 pengundi dan Putrajaya hanya sekitar 42,000 pengundi,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Beliau mengulas mengenai desakan pelbagai pihak yang mahukan peruntukan sama rata diberikan kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira jalur politik menerusi penggubalan undang-undang khusus.
Mengulas lanjut, Syahredzan memberitahu bahawa dana bagi pusat khidmat dan penggajian kakitangan juga wajar mempertimbangkan faktor lokasi memandangkan kos penyelenggaraan pejabat di kawasan bandar adalah jauh lebih tinggi.
Pada masa sama, beliau menyokong hakikat bahawa kawasan luar bandar memerlukan lebih banyak peruntukan pembangunan bagi pembinaan infrastruktur asas berbanding kawasan bandar.
“Justeru, perlu ada undang-undang untuk mengkanunkan peruntukan kewangan bagi semua Ahli Parlimen. DAP akan menyokong Perdana Menteri bagi merealisasikan undang-undang sedemikian.
“Namun, undang-undang tersebut bukan sahaja perlu menjamin kesaksamaan dari segi akses kepada dana kawasan Parlimen, tetapi juga saksama dan berkadaran dengan jumlah pengundi serta mengambil kira keadaan khusus bagi setiap kawasan,” jelasnya.
Tambah beliau, kesaksamaan dan keadilan dalam pembahagian peruntukan ini amat penting demi memelihara hak pengundi di kawasan Parlimen bersaiz mega agar mereka tidak dirugikan apabila perlu berkongsi jumlah dana yang sama dengan kawasan berpopulasi kecil.










