Elak Politik Identiti, Buktikan Prestasi Kerajaan – Saifuddin

AYER KEROH: Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran tidak terheret ke dalam politik identiti dan perkauman, sebaliknya terus membuktikan keupayaan melalui prestasi serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata politik yang mengeksploitasi sentimen kaum dan agama hanya menyemarakkan ketakutan serta tidak membawa manfaat kepada masa depan negara.

Beliau menegaskan, kerajaan perlu kekal fokus melakukan perkara yang betul demi kepentingan dan kemakmuran bersama.

“Jangan kita bertempur dalam pentas politik identiti, sebaliknya fokus kepada politik prestasi dan performance.

“Dalam gelanggang politik identiti, tidak akan ada pemenang kerana sentimen itu digunakan semata-mata untuk membina ketakutan dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026, di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri itu berkata perbezaan pandangan dalam politik adalah perkara biasa, namun perselisihan tidak seharusnya dipengaruhi ego dan emosi sehingga mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, pentadbiran Anwar kini menunjukkan perkembangan positif dari sudut kestabilan politik dan ekonomi, termasuk kestabilan kerajaan yang memasuki tahun keempat pentadbiran.

Katanya, pertumbuhan ekonomi sekitar enam peratus selain kadar inflasi yang kekal di bawah dua peratus turut menjadi antara petunjuk prestasi kerajaan.

Pada masa sama, Saifuddin berkata agenda kebajikan terus meliputi pelbagai kelompok masyarakat termasuk petani, nelayan, penoreh getah, golongan muda dan orang kurang upaya.

Beliau turut menegaskan kerajaan perlu konsisten memperkukuh tata kelola baik dengan membanteras rasuah, penyelewengan, ketirisan dan pembaziran.

Sehubungan itu, Saifuddin menggesa seluruh kepimpinan serta anggota parti terus memberikan sokongan kepada pentadbiran sedia ada bagi memastikan kesinambungan kepimpinan Anwar pada penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum akan datang.

BBerkaitan

Latest articles