KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan tindakan Kerajaan Negeri Kedah pimpinan PAS melarang operasi premis perjudian telah mencetuskan pelbagai reaksi, sekali gus membuka semula debat nasional mengenai realiti industri itu di negara ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim tampil menyuarakan pandangan bahawa sudah tiba masanya PAS Kedah dan pimpinan kerajaan Persekutuan bersikap lebih pragmatik dalam menangani isu perjudian, berbanding melaksanakan pendekatan larangan secara mutlak.
Menurutnya, walaupun beliau memahami pendirian PAS Kedah yang mahu membasmi perjudian demi memelihara nilai masyarakat, usaha menghapuskan kegiatan itu secara menyeluruh adalah satu perkara yang mustahil.
”Dengan menafikan aktiviti perjudian berlesen, operator haram yang akan mendapat keuntungan manakala kerajaan negeri tidak memperoleh sebarang hasil.
”Apabila PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan kelak, mereka tetap tidak akan mampu menutup semua premis nombor ekor kerana rakan sekutu politik mereka tidak akan bersetuju,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Zaid yang juga ahli PAS turut memberi amaran bahawa dasar penutupan premis perjudian secara berlesen hanya memberi ruang kepada perkembangan pesat perjudian haram, terutamanya perjudian dalam talian (online) yang dianggarkan bernilai antara RM15 hingga RM20 bilion setahun.
Jelas beliau, sekiranya aktiviti perjudian dalam talian itu dikenakan cukai dan dikawal selia oleh kerajaan, ia berupaya menyumbang hasil pendapatan negara sehingga RM5 bilion.
”Perjudian di internet semakin berkembang saban hari. Kita boleh memilih untuk menolak kewujudannya dan merugikan kerajaan daripada memperoleh hasil yang amat diperlukan, atau kita menjadi lebih pragmatik dan menerima kewujudannya,” tambahnya sambil menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PAS masih belum bersedia untuk bersikap realistik dalam isu berkenaan.
Pada masa sama, Zaid menekankan bahawa kesan negatif perjudian terhadap masyarakat sepatutnya ditangani melalui pendidikan berterusan dan kaunseling, bukannya bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan undang-undang.
Beliau turut meluahkan kebimbangan mengenai ancaman kegiatan perjudian haram terhadap keselamatan negara sekiranya ruang berkenaan terus dikuasai oleh sindiket jenayah terancang (underworld).
”Apabila taikun perjudian haram ini mempunyai akses kepada parti-parti politik dan mula memberi sumbangan politik, pemimpin kita akan terjejas dan akhirnya negara akan rosak.
”Jadi ulama dan ahli fikih Islam perlu membuat keputusan: adakah kita membiarkan aktiviti maksiat ini beroperasi di bawah kawalan undang-undang, atau membiarkan dunia gelap menguasai empayar perjudian?
“Yang mana satu akan memberi kemudaratan lebih besar kepada masyarakat?” soal beliau.










