Isu RCI Tabung Haji: ‘Tiada Apa Yang Hendak Disembunyikan’ – BN

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menegaskan tiada sebarang isu yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan rakyat, khususnya 10 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan agensi berkenaan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah menyahklasifikasi, membentang dan membahas laporan tersebut secara terbuka di Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu membuktikan proses ketelusan telah dilaksanakan menerusi saluran institusi negara yang sah.

Beliau menjelaskan, RCI merupakan mekanisme berlandaskan undang-undang dan laporan terbabit perlu diteliti secara objektif berdasarkan fakta serta bukti, bukannya dijadikan alat penghukuman politik.

“Perbahasan Parlimen mengesahkan bahawa RCI hanya memfokuskan tempoh 2014 hingga 2020 sahaja.

“Oleh itu, adalah wajar kajian menyeluruh mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus Tabung Haji turut dilaksanakan, termasuk penelitian terhadap perkembangan dan keputusan selepas 2020 seperti peranan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Zambry turut mendedahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak awal menyokong laporan RCI didedahkan dan dibahaskan secara khas di Parlimen, di samping mencadangkan ruang penelitian diperluaskan demi ketelusan menyeluruh.

Mengulas mengenai dapatan RCI berkaitan tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi dan mekanisme semak imbang, beliau menggesa agar semua pihak menggunakannya sebagai asas memperkukuh institusi berkenaan dan bukannya mencari keuntungan politik jangka pendek.

“Tabung Haji bukan sekadar entiti kewangan, sebaliknya ia institusi umat Islam yang memegang amanah besar dalam pengurusan simpanan, pelaburan dan urusan ibadah haji.

“Semua pihak perlu mengelakkan tuduhan melulu, penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai serta naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit,” katanya lagi.

Tambah Zambry, memandangkan ketelusan telah dilaksanakan dan perbahasan di sidang khas Parlimen sudah berlangsung, fokus utama kini perlu dialihkan kepada usaha memastikan tadbir urus TH terus diperkukuh, syor penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya, serta keyakinan umat Islam sentiasa terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles