Kongres Khas DAP: Kian Ming Cadang Pemimpin Keluar Kabinet Desak PMX Buat Reformasi

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming menggesa perwakilan Kongres Khas DAP untuk mengundi cadangan mengundurkan parti itu daripada barisan Kabinet Kerajaan Madani dalam persidangan khas yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.

Beliau yang juga ahli DAP menegaskan, langkah memilih pendirian ‘Keluar’ (Leave) merupakan satu-satunya cara berkesan untuk mengenakan tekanan politik ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar merealisasikan janji reformasi sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurut beliau, Perdana Menteri hanya akan bertindak balas apabila berdepan tekanan kukuh daripada pelbagai pihak mahupun situasi politik tertentu.

“Sekiranya perwakilan memilih untuk ‘Kekal’ (Remain), sebarang kelebihan atau daya penekan (leverage) yang dimiliki DAP ke atas Perdana Menteri akan hilang serta-merta.

“Anwar akan menganggap keputusan itu sebagai isyarat bahawa perwakilan DAP sedia menyokong beliau sehingga tamat penggal Parlimen, walaupun tanpa sebarang reformasi politik yang substantif dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kian Ming turut mengemukakan cadangan bahawa jika perwakilan memilih untuk ‘Keluar’, pimpinan DAP sebenarnya masih mempunyai ruang dan fleksibiliti dari segi menentukan garis masa peletakan jawatan menteri-menteri parti itu.

Jelas beliau, pimpinan parti boleh berunding dengan Perdana Menteri untuk menetapkan bahawa peletakan jawatan menteri DAP hanya berkuat kuasa selepas kelulusan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat dan Dewan Negara menjelang Disember 2026.

Jelasnya, dalam tempoh peralihan tersebut, DAP boleh menggunakan kelebihan yang ada untuk menggesa Kerajaan Madani meluluskan perubahan perundangan kritikal, khususnya mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta meluluskan Akta Peruntukan Parlimen yang saksama.

Mengulas lanjut, Kian Ming mengakui memang terdapat alasan kukuh untuk kekal dalam Kabinet, antaranya bagi memastikan pembentangan Belanjawan 2027 berjalan lancar pada 9 Oktober ini, mengekalkan kestabilan dasar di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global, serta mengelakkan risiko Barisan Nasional (BN) atau UMNO menarik sokongan sehingga mencetuskan pilihan raya awal.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa prinsip parti dan agenda reformasi perlu diutamakan berbanding kepentingan kedudukan dalam kerajaan.

“Langkah ini mungkin tidak menjamin Pakatan Harapan (PH) dan DAP akan kekal memerintah selepas PRU16, namun sekurang-kurangnya DAP boleh menegaskan bahawa parti ini sanggup melepaskan jawatan dalam kerajaan atas dasar prinsip, dan bukannya dituduh mengundi demi mempertahankan kepentingan diri sendiri,” katanya.

Kongres Khas DAP yang bakal menghimpunkan lebih 4,000 perwakilan pada 16 Ogos ini diadakan bagi menentukan sama ada pimpinan DAP perlu meletak jawatan daripada Kabinet tetapi kekal menyokong Kerajaan Madani sebagai penyokong kerajaan (backbenchers), atau terus kekal berkhidmat sehingga tamat penggal Parlimen.

BBerkaitan

Latest articles