RCI Tabung Haji: Dewan Rakyat Bersidang Khas Esok

KUALA LUMPUR: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bakal menjadi tumpuan Dewan Rakyat esok apabila persidangan khas diadakan bagi meneliti serta membahaskan hasil siasatan berkenaan.

Mesyuarat khas Penggal Kelima Parlimen Ke-15 itu dijadual bermula jam 10 pagi dan berlangsung selama sehari, berdasarkan takwim rasmi Parlimen.

Persidangan berkenaan turut boleh diikuti secara langsung menerusi saluran YouTube Parlimen Malaysia serta platform media rasmi.

Sesi khas itu akan dimulakan dengan penerangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, berhubung laporan RCI sebelum dibuka kepada sesi pertanyaan dan perbahasan Ahli Parlimen.

Perbahasan kemudiannya dijangka digulung oleh Zulkifli bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Lebih 35 Ahli Parlimen dilaporkan sudah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan, sekali gus memberi gambaran isu pengurusan TH bakal mendapat perhatian serius di Dewan Rakyat.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, sebelum ini memaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, bersetuju persidangan khas itu berlangsung tanpa waktu rehat bagi membolehkan lebih banyak masa diperuntukkan untuk perbahasan laporan berkenaan.

Laporan RCI setebal 211 halaman yang diterbitkan pada 29 Julai lalu mendedahkan pelbagai kelemahan dalam aspek pengurusan dan operasi TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.

Antara perkara paling mendapat perhatian ialah isu tadbir urus, termasuk dakwaan campur tangan politik dalam pengurusan serta keputusan mengagihkan keuntungan tanpa mengambil kira kesan kemerosotan nilai dan penurunan nilai saksama pelaburan.

Lebih mengejutkan, RCI mendapati TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan ketika itu sekiranya piawaian MFRS dilaksanakan sepenuhnya.

Dapatan berkenaan menggambarkan kedudukan kewangan TH ketika itu berada dalam keadaan kritikal, dengan jurang defisit antara aset dan liabiliti telah wujud sejak 2014, selain membabitkan beberapa isu berkaitan rosot nilai pelaburan.

RCI turut menyenaraikan beberapa faktor yang didapati menyumbang kepada kemelut kewangan institusi berkenaan, termasuk pembayaran hibah pada kadar tinggi, amalan perakaunan kreatif, ketidaktegasan Ketua Audit Negara serta peluasan peranan TH sebagai tonggak ekonomi ummah.

Peningkatan tanggungan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) turut dikenal pasti sebagai antara faktor yang memberi tekanan terhadap kedudukan kewangan TH.

Tidak terhenti pada kelemahan pengurusan, laporan itu turut mendedahkan kewujudan transaksi mencurigakan serta dakwaan penyembunyian maklumat.

Sehubungan itu, RCI mencadangkan audit forensik dilaksanakan selain menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan tegas terhadap laporan polis serta aduan berkaitan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada Sabtu bertitah supaya siasatan terhadap perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI TH diteruskan sehingga ke akar umbi.

Seri Paduka Baginda menegaskan tindakan berkenaan penting bagi memastikan mana-mana pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain mengelakkan kelemahan sama daripada berulang pada masa hadapan.- BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles