PUTRAJAYA: Dakwaan kononnya Islam semakin terpinggir di Malaysia disifatkan tidak berpijak pada realiti apabila kerajaan terus meningkatkan peruntukan hal ehwal Islam, selain memperkukuh institusi agama dan memperluas agenda pembangunan umat.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, kedudukan Islam tidak wajar diukur berdasarkan siapa yang memegang tampuk pemerintahan atau percaturan politik semata-mata, sebaliknya perlu dinilai menerusi dasar serta tindakan yang telah dilaksanakan kerajaan.
Menurut beliau, angka peruntukan yang terus meningkat menjadi antara bukti jelas komitmen kerajaan terhadap pembangunan Islam.
“Di bawah Kerajaan MADANI, peruntukan bagi hal ehwal Islam meningkat daripada RM1.9 bilion pada 2024 kepada RM2 bilion pada 2025 dan RM2.6 bilion tahun ini.
“Peningkatan ini merangkumi pelbagai keperluan pembangunan Islam termasuk pendidikan, institusi agama, masjid serta pembangunan insan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasan turut menolak dakwaan bahawa terdapat pihak yang membawa agenda untuk menghakis kedudukan Islam dan Melayu atau meneruskan agenda penjajah, sambil menegaskan dakwaan sedemikian perlu dinilai berdasarkan fakta serta tindakan sebenar.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata penelitian kerajaan terhadap dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji turut mencerminkan kesungguhan untuk memperbaiki tadbir urus dan memastikan amanah umat Islam terus dipelihara.
Katanya, usaha berkenaan memperlihatkan keutamaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, dalam memperkukuh institusi berkaitan Islam.
Hasan pada masa sama menyeru masyarakat supaya mengurus perbezaan pandangan secara matang dengan mengutamakan fakta dan hujah, bukannya menjadikan perbezaan pendapat sebagai alasan untuk melakukan serangan peribadi, menyebarkan fitnah atau mencetuskan perpecahan.
Beliau berkata, kedudukan Islam di Malaysia juga terus mendapat perhatian di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran program berteraskan syiar Islam, antaranya Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa serta Sama’ Hadis.
“Program seperti ini menghimpunkan ulama, ilmuwan dan peserta dari pelbagai negara, sekali gus memperlihatkan bahawa syiar Islam di Malaysia terus berkembang dan mendapat pengiktirafan,” katanya.










