KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki warga Pakistan menggunakan logo Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan lampu mata arah pada kenderaannya membawa kepada penahanan 11 warga asing dalam satu operasi khas di Setapak, semalam.
Operasi yang dijalankan sekitar jam 4.30 petang itu menyasarkan sebuah Toyota Hilux bernombor pendaftaran VLH8773 yang dipercayai digunakan dalam video tular memaparkan kenderaan berlogo JIM berkenaan.
JIM dalam kenyataannya memaklumkan, operasi digerakkan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas menerima maklumat berhubung video tersebut.
Hasil serbuan di sebuah premis di PV3 Platinum Hill Condominium dan Jalan Kuching, pasukan operasi menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai individu dalam video berkenaan.
Pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penahanan seorang wanita warga Indonesia yang didapati tinggal lebih masa di negara ini.
Lebih mengejutkan, pegawai imigresen turut menemukan dua pasport milik warga Indonesia yang dipercayai berada dalam simpanan lelaki warga Pakistan berkenaan.
Dalam operasi sama, pemeriksaan di sebuah kedai cuci kenderaan di Jalan Kuching membawa kepada penahanan empat lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga India yang dipercayai bekerja di premis berkenaan.
Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Menurut JIM, lelaki warga Pakistan yang dipercayai terlibat dalam video itu ditahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala wanita warga Indonesia terbabit ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama.
Pemilik sebenar Toyota Hilux berkenaan, yang juga lelaki warga Pakistan, turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, empat lelaki warga Bangladesh, tiga warga Pakistan dan seorang warga India yang bekerja di kedai cuci kenderaan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Siasatan awal mendapati video yang mencetuskan operasi itu sebenarnya dirakam pada April 2025, namun hanya dimuat naik ke status WhatsApp pada 7 Ogos 2026 ketika isteri kepada individu terbabit berada di Indonesia.
Dalam soal siasat, pemilik kenderaan mengakui memasang logo JIM dan lampu mata arah pada Toyota Hilux berkenaan untuk kegunaan peribadi semata-mata.
Dia juga mendakwa tidak menyedari perbuatan itu boleh menjadi kesalahan di sisi undang-undang.
Bagaimanapun, logo JIM dan lampu mata arah tersebut dikatakan sudah dibuang sebelum video berkenaan kembali tular.
Kesemua individu yang ditahan bersama kenderaan terbabit kemudian dibawa ke Pejabat Imigresen bagi tindakan serta siasatan lanjut.
JIM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan logo atau identiti jabatan yang boleh mengelirukan orang ramai selain mencemarkan imej serta integriti agensi berkenaan.
JIM turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan identiti jabatan atau melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara.










