Selepas 3 Tahun Tanpa Parti, Ronnie Liu Sertai PBM

KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu akhirnya kembali menyertai arena politik kepartian apabila mengumumkan keputusan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Keputusan itu dibuat selepas lebih tiga tahun beliau tidak bernaung di bawah mana-mana parti politik sejak meninggalkan DAP pada Jun 2023.

Pengumuman tersebut dibuat dalam satu sidang media yang disiarkan menerusi akaun Facebook beliau, dengan turut dihadiri Presiden PBM merangkap Ahli Parlimen Julau, Larry Sng.

Ronnie, yang pernah menjadi antara pemimpin berpengaruh DAP, sebelum ini menghabiskan 41 tahun bersama parti berkenaan dan beberapa kali dipilih menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Dalam karier politiknya, beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran dari 2008 hingga 2013 serta memegang jawatan Exco Kerajaan Selangor.

Beliau kemudiannya kembali ke pentas pilihan raya pada 2018 apabila memenangi kerusi DUN Sungai Pelek dan berkhidmat sehingga 2022.

Ronnie meninggalkan DAP pada Jun 2023 selepas menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pindaan perlembagaan parti berkaitan penamatan keahlian.

Pindaan itu membolehkan keahlian wakil rakyat DAP ditamatkan secara automatik sekiranya mereka tidak mematuhi pendirian parti dalam isu-isu teras.

Ketika itu, Ronnie menyifatkan langkah berkenaan sebagai tidak demokratik dan bercanggah dengan prinsip yang sepatutnya menjadi asas sebuah parti politik.

BBerkaitan

Latest articles