KUALA LUMPUR: Pakaian seragam sekolah wajar dipertimbangkan untuk disenaraikan sebagai barangan kawalan harga bagi mengelakkan ibu bapa berdepan kenaikan harga setiap kali menjelang pembukaan sesi persekolahan.
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, langkah itu lebih berkesan dalam memastikan keperluan asas persekolahan kekal mampu milik, khususnya ketika permintaan terhadap pakaian seragam meningkat secara mendadak.
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) UKM itu berkata, kerajaan perlu menyediakan mekanisme serta garis panduan yang jelas sekiranya kawalan harga pakaian sekolah mahu dilaksanakan.
“Kawal harga baju sekolah adalah tindakan yang wajar dan membantu rakyat.
“Tentunya kerajaan perlu bina mekanisme dan garis panduan yang jelas untuk kawal harga baju sekolah sebab baju sekolah pun ada kualiti kain yang berbeza,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas inisiatif pembelian pakaian seragam sekolah secara ansuran menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Mahir yang diperkenalkan bagi membantu ibu bapa membuat persiapan persekolahan anak-anak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini berkata inisiatif berkenaan bertujuan mengurangkan tekanan kewangan keluarga selain membuka peluang pendapatan kepada usahawan tempatan yang dibimbing menerusi NADI.
Anuar berkata, beliau menyokong sebarang usaha kerajaan untuk mengurangkan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan pendidikan anak-anak.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pembelian secara ansuran hanya wajar jika harga yang ditawarkan kekal sama atau lebih rendah berbanding harga pasaran.
“Kalau harga pakaian sekolah itu lebih mahal walaupun sedikit kerana dibayar secara ansuran, idea itu tidak patut dilaksanakan,” katanya.
Menurutnya, situasi peningkatan harga pakaian sekolah boleh disamakan dengan permintaan terhadap barangan keperluan asas ketika musim perayaan.
Beliau berkata, peningkatan permintaan dalam tempoh tertentu lazimnya boleh memberi tekanan kepada harga, termasuk apabila ibu bapa membeli pakaian sekolah secara serentak menjelang sesi baharu.
“Bila tiba musim sekolah dibuka, ibu bapa akan mula membeli. Pembelian begini meningkatkan permintaan secara mendadak dan harga berkemungkinan besar akan ikut meningkat,” katanya.
Justeru, Anuar mencadangkan kerajaan turut berbincang dengan pengilang bagi menghasilkan satu jenama pakaian seragam sekolah mampu milik, yang dicadangkannya sebagai ‘Uniform Sekolah MADANI’.
Katanya, pendekatan itu lebih wajar berbanding menggalakkan keluarga membuat komitmen hutang untuk membeli barangan yang bersifat penggunaan dan perlu diganti dari semasa ke semasa.
“Ini jauh lebih baik daripada mendidik rakyat berhutang untuk tujuan berbelanja pakai habis,” katanya.










