Juruterbang, Kru Kabin Perlu Tiba Lebih Awal, Jalani Saringan Dadah

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan disaran mewajibkan juruterbang dan kru kabin hadir antara satu setengah hingga dua jam lebih awal sebelum bertugas bagi membolehkan saringan keselamatan serta dadah dijalankan.

Cadangan itu dikemukakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia yang disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah.

Tiong berkata, kru penerbangan sepatutnya hanya dibenarkan menjalankan tugas selepas melepasi semua saringan yang ditetapkan bagi memastikan mereka benar-benar berada dalam keadaan sesuai untuk bertugas.

Menurutnya, kes berkenaan tidak wajar dilihat sebagai isu terpencil membabitkan seorang kakitangan semata-mata, sebaliknya perlu mencetuskan penelitian terhadap keberkesanan keseluruhan sistem keselamatan industri penerbangan.

“Persoalannya sekarang ialah sama ada sistem sedia ada benar-benar mampu mengesan risiko sebelum sesuatu kejadian berlaku.

“Keselamatan penerbangan bukan perkara kecil kerana ia membabitkan nyawa penumpang serta boleh menjejaskan keyakinan pelancong antarabangsa terhadap industri penerbangan negara,” katanya.

Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG) telah mengarahkan kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines menjalani saringan dadah susulan penahanan pegawai pertama berkenaan.

MAG turut menjelaskan juruterbang terbabit bukan sebahagian daripada kru yang mengendalikan penerbangan pada hari kejadian, sebaliknya berada di dalam kokpit sebagai pemerhati di tempat duduk tambahan.

Bagaimanapun, Tiong berpandangan perkara lebih serius perlu diberi perhatian apabila juruterbang berkenaan didapati positif dadah, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada mekanisme pemeriksaan sedia ada benar-benar mencukupi.

Dalam perkembangan berkaitan, Jemaah Menteri sebelum ini memberikan tempoh dua minggu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan untuk mengemukakan pelan menyeluruh bagi memperketatkan kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Arahan itu susulan dakwaan juruterbang berkenaan berjaya melepasi pemeriksaan bagasi dengan membawa kira-kira 25 kilogram dadah.

Tiong menegaskan kelemahan dalam aspek pemeriksaan perlu ditangani secara menyeluruh bagi mengelakkan insiden sama berulang, selain memastikan tahap keselamatan penerbangan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.

BBerkaitan

Latest articles